Terima Kasih rakan penyiar, Shah, dari TV3 atas liputan berkenaan Tasik Kenyir sebagai tenat dan lumpuh. Begitulah tajuk yang dipilih oleh mereka. Untuk kita nilai apakah benar seperti yang dinyatakan, mari kita bongkarkan lagi apa disebalik tenat dan lumpuh itu.
Dalam pengalaman saya mengikuti perjalanan Sidang Dun Terengganu semenjak 2000, isu Tasik Kenyir antara yang sangat menarik perhatian. Sehingga beberapa kali sidang, kos sebenar projek itu, tidak pernah diumumkan dalam Dun. Pelikkan?
Projek yang diimpikan oleh salah seorang MB Terengganu waktu itu untuk mengadakan kawasan bebas cukai, di tengah-tengah hutan, tanpa ada sempadan antarabangsa. Dan mengikut rekod pada waktu itu, pelancong yang datang ke Kenyir, hanya sekitar 750 ribu orang sahaja. Berkemungkinan yang ramai ialah kaki pancing.
Langkawi, Rantau Panjang, Pengkalan Hulu, Wang Kelian, Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, Bukit Bunga, Pengkalan Kubur, Tebedu, Limbang dan beberapa daerah lagi, semuanya mempunyai sempadan dengan negara jiran. Jika kerajaan meletakkan kawasan bebas cukai di daerah-daerah itu, ia bukan sesuatu yang menghairankan kerana ia laluan keluar masuk ke negara.
Akan tetapi saya faham, kawasan bebas bukanlah sewajibnya berada di sempadan, ia boleh diletakkan di mana-mana sahaja yang difikirkan sesuai oleh Kerajaan Pusat, jika negeri itu bersetuju.
Projek tak siap, dilanjutkan
Mengapa Kenyir dipilih, tidaklah kita tahu justifikasinya. Namun, apabila ia dibuka, sambutannya hampa. Sudahlah ketika pembinaannya berapa banyak isu kelewatan yang sepatutnya siap pada 2013 dilanjutkan ke 2018, kos-kos lanjutan, harga barang meningkat dan pelbagai lagi.
Taman burung yang dibina untuk diperlihatkan kepada pelancong spesis-spesis burung dari seluruh dunia. Kata MB ketika menjawab dalam Dun, tidak perlu kita ke luar negara untuk melihat spesis burung-burung ini. Jimat belanja. Konon, itulah hasrat pembinaannya. Tetapi akhirnya burung meninggal dunia kerana dimakan biawak dan binatang pemangsa yang lain.
Taman Rambutan bernilai RM2 juta. Pada fikiran biasa kita, siapalah agaknya mahu membayar tiket untuk meninjau pokok-pokok rambutan. Dan rambutan ini pula bermusim buahnya. Kalau kena musimnya, logiklah jika ada pelancong mahu ke sana. Tapi jika diluar musim?
Komplek Kastam Diraja Malaysia pembinaannya adalah menggunakan wang Kerajaan Negeri Terengganu kerana KDRM memerlukan pejabat dan juga fasiliti lain yang lengkap untuk beroperasi di sana. RM6.3 juta untuk blok pentadbiran dan RM20 juta lagi untuk kuaters perumahan kakitangan KDRM.
Sedang dalam masa yang sama, KDRM tidak mahu membelanjakan peruntukan mereka kerana projek Kenyir ini bukan keperluan operasi mereka, tetapi kehendak nafsu pemimpin Terengganu waktu itu. Sama seperti LPT2 yang menggunakan wang rakyat Terengganu kerana Kerajaan Pusat sudah penat dengan projek yang sangkut sehingga beberapa tahun.
Bajet 2014 : RM 110,000,000.00
Bajet 2015 : RM 110,000,000.00
Bajet 2016 : RM 92,500,000.00
Bajet 2017 : RM 37,000,000.00
Akhirnya…..Ia Benar
Menurut pecahan pakej yang dibuat ketika itu, ia menelan RM349.5 juta wang rakyat sehingga tahun 2017. Diwaktu itu projek sedang sakit dan datang kontraktor penyelamat yang sentiasa ada disebut-sebut nama syarikatnya Kumpulan Liziz Sdn. Bhd. Itupun jumlah sebenar kos belum diperolehi lagi.
Benar Projek Tasik Kenyir sememangnya tenat dan lumpuh semenjak ia dalam pembinaan lagi, bukan baru sekarang. Hanya sahaja kerana terlalu banyak wang rakyat yang telah hangus digunakan, maka terpaksalah ia menjadi mayat hidup bagi Kerajaan Negeri meneruskannya juga.
Ada menyusahkan, mati lagi membebankan kita semua sedangkan keuntungannya dibaham oleh kontraktor. MB PAS Terengganu pula bukan seperti MB Umno. Bila naik, projek yang lama mereka tinggalkan sebab ada projek baru.
Mohd Nasir Abdullah
28 Januari 2025