KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu melaksanakan Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Terengganu Fasa 1 sebagai langkah proaktif bagi menangani kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis Asia Barat yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata konflik berkenaan telah memberi tekanan kepada ekonomi negara terutama melalui peningkatan kos bahan api, logistik dan insurans sehingga menyebabkan kenaikan harga barangan di pasaran.
Beliau berkata keadaan itu dijangka memberi kesan lebih ketara dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila peningkatan kos terus mempengaruhi rantaian bekalan serta operasi pengeluar dan peniaga.
“Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, menyokong kelangsungan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta membantu aktiviti pengeluaran padi di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Antara langkah diumumkan termasuk penilaian semula Jadual Kadar Harga (JKH) bagi bahan binaan terpilih selain penyelarasan kos kontrak berdasarkan perubahan harga semasa.
Kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek kecil berimpak tinggi dan mudah dilaksanakan bagi merangsang aktiviti ekonomi setempat.
Selain itu, moratorium selama tujuh bulan bermula Jun hingga Disember 2026 diberikan kepada 783 peminjam di bawah Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS), melibatkan nilai pinjaman tidak dikutip sebanyak RM2.1 juta.
Kerajaan negeri juga bersetuju menambah dana skim berkenaan sebanyak RM2 juta pada tahun depan bagi membantu lebih ramai usahawan.
Bagi sektor pertanian, moratorium Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) bermula Mei 2026 hingga April 2027 melibatkan kira-kira 400 peminjam dengan nilai pinjaman RM2.9 juta turut diumumkan.
Dalam masa sama, pesawah akan menerima insentif RM100 bagi setiap tan metrik pengeluaran padi dengan bayaran maksimum RM1,000 seorang, melibatkan peruntukan keseluruhan RM3 juta dan memberi manfaat kepada 4,513 pesawah.
Ahmad Samsuri berkata Belanjawan 2026 juga akan diselaraskan semula mengikut keperluan semasa dan strategi lebih bersasar demi memperkukuh ekonomi negeri.
Beliau berharap semua inisiatif yang diumumkan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh golongan sasar, sambil menegaskan kerajaan negeri akan terus komited membantu rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi negeri terus terpelihara.






























