Desakan DPPM adalah ekoran penyokong kerajaan dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bersepakat menolak perkara tersebut apabila dalam sidang Parlimen baru-baru ini, Ahli Parlimen (MP) Kota Melaka dari DAP, iaitu Sim Tong Him bangun mempertikaikan perlaksanaan AES sambil meminta pelaksanaannya ditangguhkan.
Gesaan MP Pakartan Rakyat tersebut telah disokong oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Riduan Mohd Nor, jarang-jarang berlaku persepakatan antara pembangkang (Pakatan Rakyat) dan Kerajaan (BN) di Parlimen.
“Biasanya akan terjadi insiden bertikam lidah antara kedua pihak bagi mempertahankan hujah masing-masing. Biasa juga berlaku apabila kedua-dua pihak mencapai kesepakatan apabila isu yang dibangkitkan itu melibatkan isu antarabangsa atau isu sejagat yang tidada pihak mampu pertikaikan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan DPPM yang dikeluarkan hari ini Khamis 11 Oktober.
Kata beliau, dalam isu AES nampak sangat kedua-dua pihak seakan bersetuju bahawa ianya tidak perlu dilaksanakan di negara ini.
Bahkan, katanya, Kedua-dua pihak seperti mengakui sistem ini akan menyebabkan ramai pengguna jalan raya menjadi mangsa kesalahan yang direkodkan ke atas mereka.
“Apabila sistem ini dipertikaikan oleh banyak pihak, ia menjadi tanda bahawa pelaksanaannya tidak disenangi. Ahli-ahli Parlimen ini memberi suatu mesej penting supaya kerajaan mengkaji dahulu implikasi jangka panjang pelaksanaannya sebelum ianya benar-benar di implementasi dalam negara ini.
“Biar sesuatu dasar itu dilumati dengan betul dan disepakati oleh banyak pihak supaya selepas ini tiada kumpulan atau individu yang menentangnya,”jelasnya.
Menurutnya, memanglah hasrat pelaksanaan AES ini untuk melihat kadar kemalangan jalan raya di negara ini akan berkurangan serta menjadikan pemandu lebih berdisiplin.
Tetapi, katanya, jika usaha ini menjadi punca kemarahan orang ramai, sehingga ramai orang merasakan sistem ini seperti menganiaya mereka, lebih baik ia tidak dilaksanakan dulu.
“Mungkin ada cara lain yang lebih berkesan dan mendidik pengguna supaya patuh dengan peraturan jalan raya dan menjadikan mereka lebih berdisiplin,”tambahnya





























