Tambah Menteri, Tambah Belanja Mengurus

1031

MARANG – Pengumuman perlantikan tiga Menteri dan tiga Timbalan Menteri baru dari MCA dan GERAKAN semalam oleh YAB Perdana Menteri menjadikan Kabinet Malaysia kini diperbesar menjadi 62 orang anggota dengan 35 Menteri dan 27 Timbalan Menteri.

Berikutan itu juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini bertambah kepada 10 orang berbanding hanya 8 orang sebelum daripada ini dan secara purata tidak pernah mencecah angka 8 pada zaman Tun Abdullah Badawi dan Tun Mahathir Mohamed.

Pemuda PAS berkata, tindakan Najib memberi mplikasi langsung kepasa pertambahan
belanja mengurus negara, sebanyak RM166,563 sebulan dan jumlah keseluruhan bagi menggaji anggota kabinet mencecah hampir RM10 juta sebulan.

“Duit bagi menggaji kesemua anggota kabinet ini pasti sekali dari poket rakyat.

“Keanggotaan JPM dengan 10 Menteri dan seorang Timbalan Menteri membuktikan ketidakupayaan DS Najib untuk berperanan secara efektif sebagai PM dan tidak fokus menjalankan tugasnya,”kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi

Lebih mengecewakan, menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, perlantikan dua Menteri di JPM dibuat terlebih dahulu tanpa ada portfolio khusus yang ditentukan.

“Jawapan ‘..akan diumumkan kemudian’ oleh PM semalam memperlihatkan bahawa perlantikan yang baru dibuat itu bukan atas faktor keperluan dan kelayakan.

“Ia hanya sebagai menunaikan janji politik,”jelasnya

Sepatutnya, kata beliau, susun atur semula kabinet ketika ini perlu dibuat secara menyeluruh mengambil kira saiz kabinet yang sepadan dengan perbelanjaan negara dan keperluan semasa serta prestasi Menteri dan Timbalan Menteri sedia ada termasuk PM dan TPM sendiri.

“Jika tidak, perubahan kabinet itu tidak akan memberi apa-apa kesan positif terhadap urus tadbir negara dan semakin menambah beban masalah dan kewangan kepada negara dan rakyat,”tegasnya.