Tahun Melawat Terengganu; Kemudahan Penunjung Bukit Keluang Terabai

2657

Oleh : Rohayati Ripin

BESUT – Kegagalan pihak berwajib menyelenggara kemudahan serta insfraktuktur di Pantai Peranginan Bukit Keluang amat mendukacitakan, terutamanya pada tahun ini yang telah diisytiharkan sebagai ‘Tahun Melawat Terengganu’.

Jambatan kayu melintasi anak sungai di kawasan tumpuan pelancong itu, dalam keadaan uzur dengan pagar runtuh dan lantai yang rosak, tidak dibaiki serta laluan ke jejantas bagi menyeberangi laluan air itu mendap.

Seorang pengunjung tetap pantai itu, Siti Nurul Jannah Mohd Daud, 26,  (Gambar bawah) berkata, masalah itu telah berlaku sejak sekian lama tanpa diambil sebarang tindakan baik pulih oleh pihak kerajaan.

“Masalah lama dah berlaku tapi pihak bertanggungjawab tak ambil kisah pasal benda ini…….jambatan kayu yang tidak berpagar…….dengan lantainya patah tidak dibaiki,

“Dan sudah tentu keadaan ini boleh membahayakan para pengunjung yang lalu ikut sini,” katanya ketika ditemui.

Beliau bimbang, ia akan menyebabkan kemalangan kerana laluan tersebut sering digunakan oleh orang ramai.

“bayangkan kalau ada yang terjatuh siapa susah? Jangan bila berlaku sesuatu (kemalangan) baru nak baiki ……baik cegah dari awal lagi dari tunggu benda-benda buruk berlaku,

“Saya harap sangatlah pihak yang bertanggungjawab tolonglah baiki segera,” tegasnya, yang menjalankan perniagaan menjual gula-gula dan kerepek di pantai itu.

Seorang lagi pengunjung, Wan Nur Shafira Wan Ahmad, 25, kesal diatas kegagalan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan pengunjung ke Pantai Peranginan Bukit Keluang.

“saya harap pihak yang bertanggungjawab agar selalu memantau keadaan infrastruktur di kawasan ini terutamanya jambatan yang rosak,

“Jangan biarkan keadaan ini berlarutan tanpa pembaikan kerana ia boleh membahayakan pengunjung- pengunjung disini terutamanya kanak- kanak”, ujarnya.

Justeru itu, PAS Kawasan Besut mengesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera membaik pulih infrastruktur yang rosak dan terbiar itu.

Yang DiPertuanya Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, kerosakkan tersebut kelihatan telah agak lama namun dibiarkan begitu sahaja.

“Pihak yang berkenaan diminta segera menjalankan pemantauan berkaitan infrastruktur di kawasan rekreasi ini ekoran banyak kerosakan yang berlaku boleh mengundang persoalan keselamatan di kalangan pengunjung,

“sebagai sebuah pusat peranginan yang agak terkenal, situasi seperti ini sangat memalukan”, katanya.

Menurutnya beliau telah mengunjungi sendiri pantai tersebut ekoran aduan yang diterima dari orang ramai.

Bahkan, jelas beliau lagi, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus lebih prihatin dalam mengurus tadbir prasarana yang ada agar rakyat tempatan dan pengunjung luar merasa selamat.

“dalam masa yang sama dapat menghayati keindahan serta ketenangan alam anugerah Allah kepada kita,” ujarnya ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga harus memandang serius soal gejala sosial yang boleh mengundang perlakuan maksiat dan tingkahlaku yang mengaibkan, yang berlaku di kawasan terbabit.

“Usaha mengindahkan kawasan pelancongan tidak harus menjarakkan masyarakat dalam soal hidup beragama,

“kita (PAS) mencadangkan agar pihak penguatkuasa agama melakukan pemantauan secara berkala disamping meletakkan papan tanda yang boleh mengingatkan masyarakat terhadap maksiat yang keji,

“Saya berharap pihak berkuasa segera mengambil perhatian dalam soal tanggungjawab sosial dan menguruskan penyelenggaraan dengan baik dan berhemah”, tegas beliau.