Syed Saddiq Mungkin Salah Faham Atau Tersilap Baca!

14125

KUALA TERENGGANU – Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman, mungkin salah faham atau tersalah baca, berkenaan pemakaian patuh syariah atlet yang diputuskan oleh Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara itu mungkin juga disalah baca oleh Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

“Ianya hanya terpakai untuk atlet Negeri Terengganu sahaja, dan ia bukan satu arahan untuk atlet luar dari Terengganu.

“Yalah, kita punya kuasa untuk Negeri Terengganu sahaja,” ujarnya pada sidang media, ketika mengulas komen Syed Sadiq, Wisma Darul Iman, semalam 27 November.

Menurut Ustaz Wan, yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu, pemakaian patuh syariah berkenaan adalah sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menegakkan Islam didalam kekuasaan tampuk pemerintahan negeri.

“Kita akan menerapkan dan juga akan laksanakan Islam itu dimana sahaja atlet-atlet kita berada.

“Maka saya telah nyatakan bahawa yang pertamanya kita ingin memberikan kesedaran terlebih dahulu,” jelasnya.

Hal demikian adalah, tegasnya, supaya menjadi galakkan kepada atlet untuk ‘menutup aurat’ pada setiap kejohanan dan juga acara-acara yang disertai atlet Terengganu.

Wan Sukairi berkata, perkara itu telah mendapat sambutan baik dari Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan perkara itu telah dimulakan persatuan bola sepak berkenaan untuk tampil dalam pertandingan 2019.

Disamping itu, beliau menambah, ianya telah mendapat maklum balas yang baik dari Persatuan Ragbi dan Juga Persatuan Hoki.

“Walaupun penguatkuasaan belum ada, tetapi mereka terlebih dahulu ‘advance’ (Kehadapan) menyahut seruan ini.

“Dengan menyahut seruan ini dengan mengarahkan pemain pasukan mereka untuk patuh syariah,” katanya menjawab kenyataan Syed Sadiq yang berkeras, ia perlu dirujuk dahulu kepada atlet berkenaan berkaitan perkara tersebut.

Sehubungan itu beliau turut menyatakan bahawa kerajaan PAS menjaga kebajikan rakyat termasuk para atlet, di dunia dan akhirat.

“Yang kita jaga bukan sahaja diatas dunia, kita juga mahu memastikan kebajikan kita (jaga) sehingga ke negeri akhirat,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berharap Syed Saddiq mencontohi kelab bola sepak luar negara yang tidak mengenakan halangan untuk pemain beragama Islam mengamalkan ajarannya

Katanya, Syed Saddiq tidak bersikap ‘lebih’ daripada England dan Perancis, apabila mengkritik keputusan Kerajaan Terengganu.

“Setahu saya kelab bola sepak England dan Perancis membenarkan pemain Islam mengamalkan ajaran agama. Jangan dia (Syed Saddiq) lebih daripada England dan Perancis sudahlah,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian kepada media selepas menyampaikan syarahan perdana berjudul Geopolitik Antarabangsa dan Masa Depan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang disiarkan secara langsung melalui media sosial.