Suspek Al-Qaeda di Aceh’ dibicarakan

695

http://buletinonline.net/images/stories/berita32/suspek%20al-qaeda.jpgJAKARTA: Suspek anggota kumpulan pelampau yang digelar ‘Al-Qaeda di Aceh’ dibicarakan semalam atas dakwaan merancang membunuh warga Barat, termasuk pekerja bantuan Amerika Syarikat dan pelancong.

Lebih 20 suspek dijadualkan menjawab pertuduhan yang termasuk menjalankan tindakan yang menyebabkan ‘keganasan atau ketakutan’, memiliki senjata api, menyediakan biaya serta perlindungan bagi pengganas dan menyertai latihan militan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh menghadapi hukuman penjara tiga tahun dan mati.

Mereka kumpulan suspek pertama yang menghadapi mahkamah daripada lebih 100 orang yang ditahan selepas penemuan satu kem latihan militan di Aceh Februari lalu.

(Gambar – seorang suspek al-qaeda. Gambar dari agensi Antara)

Sekitar 66 lagi masih dalam tahanan sementara menunggu dibicara.

Kem itu didakwa mengumpulkan militan daripada pelbagai kumpulan serantau itu, termasuk beberapa kumpulan yang ada kaitan dengan Al-Qaeda, di bawah kepimpinan dalang pengganas Indonesia, Dulmatin, yang dibunuh polis Mac lalu.

Mereka menjalani satu proses indoktrinasi keagamaan dan latihan ketenteraan dengan tujuan menyingkir orang Barat dan Kristian dari Aceh, kata para pendakwa.

Sasaran mereka termasuk orang awam dan pekerja bantuan dari Amerika, gereja, pelancong dan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Barat, kata pendakwa raya, Encik Firmansyah, dalam dokumen yang diserahkan kepada mahkamah.

‘Jika mereka tidak boleh pergi ke Palestin, mereka akan menentang warga Amerika dan sekutu mereka di Indonesia, terutama warga Amerika di Aceh,’ kata beliau.

Salah seorang suspek didakwa menembak dan mencederakan seorang pekerja bantuan Jerman di Aech tahun lalu, membaling bom tangan ke arah pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu kota wilayah itu dan menembak sebuah rumah yang disewa dua guru pelatih Amerika.

Dalam satu perkembangan lain, polis Indonesia telah melahirkan kebimbangan bahawa bekalan raifal penyerang yang ditinggalkan selepas perang saudara di Aceh mungkin jatuh ke tangan pengganas yang condong pada serangan menggunakan senjata api ala Mumbai di India daripada serangan bom.

Polis percaya beberapa rompakan bersenjata mungkin dikaitkan dengan bekas kumpulan pemisah atau pengganas, atau kedua-duanya.

‘Ada banyak suspek pengganas (daripada kumpulan berpangkalan di Aceh) yang masih bebas.

‘Saya mengesyaki bahawa barangan curian daripada rompakan bersenjata itu telah membantu membiaya kumpulan pengganas ini,’ kata jurucakap polis kebangsaan Indonesia, Pesuruhjaya Besar Marwoto Soeto. — AFP.