SRIDAR Kertih Mulakan Pengambilan Pertama

3725

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Sekolah Rendah Islam Darul Rahman (SRIDAR) Kertih akan memulakan sesi persekolahan pertama pada tahun hadapan dan pengambilan pelajar tahun satu dan dua sedang dilakukan.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SRIDAR Kertih, Ustaz Muhammad Mahadi Nawi ketika ditemui di sini berkata, 12 pelajar telah mendaftar dan menyelesaikan bayaran yuran masing-masing.

“Kebiasaan ibu bapa akan mula mendaftar pada saat-saat akhir iaitu sebelum sesi persekolahan bermula, InsyaAllah bukan masalah besar rasanya untuk membuka dua kelas.

“Kita akan cuba mulakan dengan 20 pelajar untuk tahun pertama ini, guru pun telah kita ambil, sudah bayar gaji pun.

Pembinaan SRIDAR Kertih rancak berjalan dijangkan siap menjelang sesi baru persekolahan 2018

“Bayaran kita ambil setiap bulan sekitar RM230 sahaja, siap dengan makan dua kali sehari, masuk pagi dan balik dalam pukul 2:30 atau 3:00 petang.

“Kompleks sekolah bernilai hampir RM3 juta hasil sumbangan orang ramai sedang dibangunkan secara berperingkat, sebahagian bangunan bersedia untuk digunakan untuk sesi persekolahan nanti,” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, sukatan pelajaran akademik adalah sama dengan sekolah kerajaan dan tambahan kurikulum ‘diniah’ meliputi pelajaran Bahasa Arab, Al Quran, Fekah, Tauhid dan lain-lain.

Katanya, pendaftaran pelajar boleh dibuat sekarang dengan menghubungi pihak sekolah di talian 09-8165117.

SRIDAR Kertih bernaung di bawah kelolaan Dewan Urusan Ulama PAS Negeri Terengganu dan menjadikan sekolah rendah Islam ke 11 dan paling bongsu di negeri ini.