ALOR SETAR – Siasah syar’iyah adalah wasilah untuk menegakkan perintah Allah dan bukannya mengejar matlamat kemenangan semata-mata.
Allah menjadikan manusia sebagai khalifah untuk mentadbir muka bumi ini bagi menjalankan segala perintah dan laranganNya.
Penegasan itu dibuat oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Yang Amat Berhormat Dato’ Bentara Kanan, Ustaz Haji Ahmad Yakob.
“Sheikh Said Hawa menyatakan bahawa matlamat mewujudkan khalifah bukan untuk memberi kuasa kepada manusia tetapi untuk memberi kekiasaan kepada Islam yang dilaksanakan oleh manusia,
“Sebab itu kita (PAS) berusaha melalui kuasa politik yang ada pada kita dalam sistem negara demokrasi yang ada ini untuk mendapatkan kuasa bagi membolehkan tuntutan Allah dapat dilaksanakan sepenuhnya,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat kali ke-56 yang diadakan di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Kedah disini pada Khamis 27 April.
Menurutnya, senario politik Malaysia yang banyak dipengaruhi oleh fahaman sekularisme, nasionalisme dan juga sosialisme telah menyempitkan ruang bagi pemahaman sistem pemerintahan, untuk kita memahami syariat Islam dalam konteks yang sebenar.
“Dalam Islam agama dan politik atau urusan pemerintahan tidak boleh dipisahkan,
“fahaman yang memisahkan agama dan urusan pemerintahan yang digelar sekularisme amat bertentangan dengan fitrah dan akidah Islam itu sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata, Mufti terakhir kerajaan Uthmaniah Sheikh Mustaffa Sobri telah menegaskan bahawa pemisahan agama dan politik adalah jalan pintas untuk seseorang menjadi kufur.
“Disinilah kita (PAS) memerlukan tenaga para ulama yang tinggi kesedarannya terhadap pembangunan negara berteraskan panduan syariat,” tegas beliau.
Malah katanya, jika ditinjau kepada sejarah lampau Khulafah ar-Rasyidin adalah pemerintah awal Islam yang bertaraf ulama.
Begitu juga dalam era kerajaan Bani Umaiyyah, Bani Abbasiyyah dan kerajaan Turki Uthmaniah, kata beliau, juga terdapat pemerintah yang majoritinya adalah ulama.
Ustaz Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan menerangkan, ulama yang dimaksudkan ialah yang faham ilmu dan beramal dengan Islam.
“sesungguhnya orang yang alim ialah orang yang beramal dengan ilmunya,” kata beliau memetik ucapan Khalifah keempat, Syaidina Ali bin Abu Talib.




























