Oleh : Ustaz Mohd Nor Hamzah
Setelah terumbang-ambing dengan kenyataan demi kenyataan berkenaan wang rakyat Terengganu yang telah digunakan oleh kerajaan pusat untuk pembinaan LPT2 sebanyak RM1.8 billion, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman baru-baru ini menyatakan bahawa, wang itu akan dipulangkan kembali dan kerajaan negeri juga sekarang sedang berusaha bagi mendapatkan saham dalam konsesi LPT2 jika wang itu tidak dikembalikan. Sejumlah kira-kira 40 Peratus saham yang akan dimohon untuk diberikan kepada kerajaan negeri. Beliau menyatakan demikian di hadapan anak-anak perantau Terengganu ketika memberikan penjelasan berkenaan isu ini.
Saya menjadi agak keliru dengan kenyataan ini. Pertamanya, apabila duit rakyat Terengganu diambil dahulu, tiada satu kenyataanpun yang dikeluarkan bagi menerangkan bahawa wang itu hanyalah pinjaman. Tiada satupun penjelasan yang diberikan di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu bahawa balasan kepada pinjaman itu akan diberikan dalam bentuk saham. Membuatkan rakyat tertanya-tanya. Sepatutnya dengan wang yang begitu besar jumlahnya itu, ianya perlu dibawa ke DUN bagi memberikan penerangan kepada wakil-wakil rakyat, kemudian mendapat kelulusan DUN dan seterusnya ia menjadi kenyataan rasmi kerajaan negeri menerusi persidangan DUN. Bukannya hanya ucapan dalam majlis makan malam bagi membincangkan angka besar wang rakyat ini. Jelas sikap Umno yang mengkhianati amanah atas sejumlah besar wang rakyat dengan tidak dibincangkan pada tempatnya. Setelah dibelanjakan RM1.8 billion, baharulah terhegeh-hegeh mencari jalan untuk mendapatkannya kembali. Seperti wang itu kepunyaan mereka lagaknya. Sama sahaja perangai bapa (pusat) dengan anaknya (negeri) dalam hal mengkhianati wang rakyat.
Keduanya, apabila MB mengatakan akan menerima kembali wang itu atau mahu mendapatkan saham, rakyat ingin tahu, apakah imbalannya kepada rakyat? Ini kerana banyak pembangunan tersekat kerana duit itu “hilang” dari kantung kerajaan negeri. Adakah kadar tol khas bagi rakyat Terengganu akan dihapuskan sama seperti kerajaan PAS lakukan pada tol Jambatan Sultan Mahmud dahulu? Dan bagaimana caranya mahu melaksanakan atau mengenalpasti mereka? Kerana rakyat negeri lain tidak sepatutnya menikmatinya. Atau adakah MB akan memberikan janji baharu, sama seperti janji GST dahulu iaitu wang GST itu akan dikembalikan untuk faedah kepada rakyat, tetapi akhirnya saban hari barang semakin naik?
Dengan jumlah RM1.8 billion itu, sepatutnya ia boleh membina 36 ribu buah rumah murah pada kos RM50 ribu sebuah. Projek tebatan banjir yang dijanjikan oleh kerajaan sebanyak RM8 juta di Rantau Abang mungkin sudah siap sepenuhnya dan pelbagai lagi projek untuk kemudahan rakyat. Tetapi sekarang tentunya sudah berbeza RM1.8 billion itu kerana nilai matawang semasa sudah jatuh sekaligus wang rakyat Terengganu itu menjadi mengecil, maka rakyat Terengganu rugi kerana kerajaan pusat dan negeri telah berkhianat mengguna pakai wang rakyat kemudiannya tidak tahu secara hitam putih samada dikembalikan atau tidak.


Kita juga sedia maklum yang MB sekarang ini masih terkial-kial mencari identitinya yang mana dia mahu lari jauh dari bayangan MB-MB yang lalu. Tetapi sayang kerana dia masih gagal membina identitinya dan hanya mengharapkan isu murahan seperti ini bagi mencari populariti. Suka saya ,memperingati rakyat Terengganu perkataan ‘kerajaan pusat pada dasarnya sudah bersetuju’ seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia, bukan bermakna persetujuan itu sudah ditandatangani tetapi ia masih terbuka luas untuk kerajaan pusat menolaknya kembali. Sama seperti lakonan mengangkat replika cek bayaran royalti yang dikatakan dikembalikan kepada Terengganu suatu masa dahulu. Kemudian, apa jadi dengan royalti itu? Semuanya hanya lakonan. Mungkin Dato’ Seri Ahmad Said sedang tersenyum melihat lakonan ini? Jadi, nasihat saya, lupakan dahulu angan-angan saham LPT2 yang tidak pasti itu, tumpukan kepada kes yang sudah pasti seperti royalti dan telaga Bertam 307 dahulu.
***YB Ustaz Mohd Nor Hamzah adalah Ketua Penerangan PAS Terengganu
7 Syawal 1436 bersamaan 23 Julai 2015




























