Taktik Kerajaan Membuli Pembangkang Akan ‘Makan Diri’

917

PAS mengingatkan kerajaan bahawa taktik membuli pembangkang dengan cara ini hanya akan menyemarakkan lagi desakan dan keinginan rakyat untuk mengetahui kebenaran di sebalik semua dakwaan terhadap 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, tindakan Imigresen Malaysia menimbulkan persoalan bagaimana seorang yang belum dibuktikan bersalah dan tidak di’heret’ ke mahkamah pun, telah disenarai hitamkan.

Beliau mempersoalkan bagaimana pula seseorang yang telah disabitkan kesalahan membunuh boleh terlepas dari tindakan penguatkuasa itu.

“Imigresen telah mempamerkan kecekapan melaksanakan arahan atasan bagi menyenarai-hitamkan beberapa tokoh pembangkang daripada keluar negara walaupun belum diheret ke mahkamah untuk apa-apa tuduhan yang konkrit.

“Ini menimbulkan persoalan bagaimana seorang yang telah disabit kesalahan membunuh boleh pula terlepas ke Australia memandangkan Imigresen negara boleh bertindak secekap ini?,”soalnya sinis.

Rakyat akan melihat tindakan sebegini sebagai terdesak dan bermotifkan politik apabila tiada sekatan dilakukan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, pengkritik terhebat 1MDB, yang sudah terang-terang menjelaskan niatnya untuk menurunkan Najib sebagai Perdana Menteri.

Katanya, bahkan ia bukan setakat itu sahaja kerana persepsi buruk pada kerajaan akan bertambah apabila rakyat melihat mereka yang terlibat dengan isu 1MDB seperti Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Penasihat 1MDB masih bebas bergerak ke seluruh dunia, sebaliknya mereka yang membongkarnya dikenakan tindakan.

“Adalah lebih berfaedah dan menguntungkan kerajaan jika fokus dan bantuan dapat diberikan kepada pasukan siasatan khas,

“untuk menyelesaikan misteri aliran tunai di sebalik 1MDB dengan kadar segera daripada terus melakukan tindakan yang menampar diri sendiri,”tambah beliau