Seberang Takir, Bangi Dan Sungai Como

2187

Pagi semalam bermula dengan pertemuan bersama Komuniti Nelayan Seberang Takir dan kawasan sekitar. Rupanya bila dapat khabar Exco Pertanian nak jumpa, ada nelayan dari Dungun yang turut hadir. Dewan Pusat Pengembangan Teknologi Perikanan Seberang Takir penuh full house sehingga buah tangan Nenas MD2 yang disediakan Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia tak mencukupi disebabkan kehadiran melebihi jangkaan.

Terkedu saya bila seorang nelayan dalam usia emas memaklumkan, inilah kali pertama dalam hidup dapat jumpa dan berdialog dengan Exco Pertanian. Saya sedia menjadi pendengar setia masalah dan isu nelayan yang telah berlarutan sejak berpuluh tahun lalu. Ada yang meluahkan dengan tenang, ada juga yang mengambil peluang melepaskan geram. Bukan geram kepada saya tapi kini saya berada di posisi untuk membuka minda dan jiwa menyelami setiap patah keluhan rakyat.

Isu utama yang diketengahkan ialah;
1. Pencerobohan pukat tunda nelayan asing
2. Perlesenan dan isu pemberian lesen ali baba
3. Muara cetek dan benteng pemecah ombak
4. Kurangnya sumber ikan di perairan
5. Penguatkuasaan undang-undang di laut

Tak semua aduan kita mampu jawab dengan penyelesaian segera kerana sebahagian keluhan dan masalah di atas berada di dalam bidang kuasa kerajaan pusat. Sebahagiannya pula memerlukan pindaan kepada peraturan perikanan sedia ada. Semuanya saya catat untuk diketengahkan dalam pertemuan dengan Menteri Pertanian dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, ada beberapa aduan berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri untuk kita bertindak. Dalam majlis pagi semalam, saya bagi nombor telefon peribadi saya untuk disimpan oleh semua nelayan dan saya minta izin untuk bagi juga nombor telefon Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang bersama hadir dalam majlis. Boleh kemukakan sebarang aduan kepada kami terus pada bila-bila masa tanpa sebarang karenah protokol. Hj Zawawi Ali, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu juga melahirkan kesedian untuk menerima aduan pada bila-bila masa saja. Ada jumpa bot pukat tunda menceroboh, terus maklum kepada Pengarah Perikanan. Memang kita perlu meletakkan diri untuk menjadi sebahagian dari kehidupan para nelayan. Barulah kita mampu memimpin dengan berkesan. Saya mohon maaf kalau cara saya bekerja menyusahkan para pegawai. Biarlah kita bersusah untuk menghadirkan senyuman di wajah orang lain.

Berbanding dengan nelayan negeri-negeri lain, lantaran kerana kedudukan geografi, nelayan Terengganu sebenarnya paling terdedah kepada isu pencerobohan nelayan asing menyebabkan satu perhatian khusus dari segi penguatkuasaan perlu dengan tindakan drastik dan berkesan. Lama mereka memendam rasa melihat khazanah laut milik negeri dikaut dengan rakus tanpa mempedulikan undang-undang oleh nelayan asing. Antara puncanya ialah kerana pemilikan lesen bot oleh individu yang mempunyai kedudukan istimewa dengan kerajaan sebelum ini dan kemudiannya dijadikan ali baba kepada nelayan asing.

Nada suara para nelayan berubah menjadi tinggi dan lantang bila menyuarakan isu nelayan asing dan pukat tunda. Saya memahami dan amat bersimpati. Begitu lama mereka memendam rasa. Sebelum ini suara kerdil mereka hilang bersama desiran ombak laut. Inilah nasib nelayan pantai…

YB Dr Azman Ibrahim
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu.
10 Jun 2018