Sambutan Tahun Baru: Mengundang Kemurkaan Langit Dan Petaka 2014

1084

Oleh : Dr.Ustaz Riduan Mohd Nor.
Saban tahun menjelang tahun baru maka sambutan 1 Januari seolah menjadi pesta pora wajib di negara ini. Kerajaan BN semenjak puluhan tahun sentiasa mengadakan sambutan besar- besaran kecuali pada tahun 2004 kerana menghormati tragedi tsunami yang telah mengorbankan ratusan ribu manusia di Asia terutama di Acheh. Sambutan yang diadakan di kota kuala lumpur dan ibu negeri kerajaan BN tak sunyi pula dengan persembahan artis, percampuran bebas , berbaur maksiat dan sebagainya. Anak-anak muda seolah mendapat lesen untuk bersuka ria , membilang detik masa menuju jam 12 malam, seterusnya diusung ke bilik hotel atau pelbagai tempat untuk bercengkerama. Implikasi daripada budaya pesta yang diterapkan oleh kerajaan BN maka tidak pelik dengan berlakunya peningkatan kelahiran anak luar nikah, pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, gangsterism remaja yang semakin membuncah.

PAS terutama Dewan Pemuda PAS Pusat semenjak zaman Dato’ Mahfuz Omar juga setiap kali sambutan tahun baru akan mengadakan siri xpdc dakwah untuk menyedarkan masyarakat Islam tentang pelbagai tajuk daripada keindahan Islam dan juga peringatan agar masyarakat menjauhi maksiat. Pemuda PAS bergerak ke tempat-tempat tumpuan ramai, mengedarkan risalah, menyantuni remaja, mencegah maksiat dan sekaligus mengurangkan masalah sosial dalam negara ini. PAS juga berkolaborasi dengan NGO-NGO Islam yang lain menggerakkan kempen kesedaran Islam pada malam menyambut tahun baru seperti mengadakan konsert islamik . Konsert islamik ini menjadi alternatif kepada anak-anak muda dan masyarakat untuk berhibur.

aAmbang2014Sambutan tahun baru juga berjaya diberikan wajah baru oleh kerajaan Pakatan Rakyat, contohnya kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kelantan. Kerajaan Selangor dalam sambutan berwajah baru berjaya menghimpunkan ratusan ribu rakyat di dataran kemerdekaan Shah Alam apatah lagi dengan kehadiran daie sejuta ummah, Ustaz Azhar Idrus dan selebriti tanahair yang lain.Anak muda dahagakan hiburan namun biar terkawal dan hiburan yang mampu mengisi jiwa mereka. Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya menyekolahkan kerajaan BN bahawa sambutan awal tahun baru yang mempunyai tarikan pesona buat anak muda sebenarnya mampu mendidik dan mengawal runtunan jiwa muda.

Sambutan Tahun Baru 2014, Bersepuh Derita Rakyat Jembel

Sambutan tahun baru kali ini pula kelihatan lebih bergengsi apabila anak-anak muda menganjurkan bantahan awam kepada isu kenaikan harga barang dan juga fenomena inflasi yang bakal berlaku. Gelombang protes rakyat ini kelihatan semakin menyala dan meniti mulut ke mulut apabila diberikan publisiti percuma oleh media perdana. Ketololan regim BN tidak pernah sirna , mereka tidak belajar daripada kesilapan yang lampau. Memberikan ancaman, ugutan,intimidasi melampau akan memberikan iklan percuma dan menggebukan semangat anak muda untuk hadir berhimpun sebagaimana kes BERSIH, anti ISA dan puluhan bantahan yang lain.

Anak muda wajar untuk merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu kenaikan harga barang kerana merekalah kelompok paling terbeban. Semenjak muda menanggung beban hutang belajar, kos kehidupan yang meningkat serta masa depan yang semakin suram akibat kegagalan BN menguruskan pemberdayaan ekonomi negara. Negara ini semakin tenat dengan kroni kapitalisme, korupsi gotong royong, ketirisan, juga kebodohan melampau menteri dalam merespon isu berkaitan kenaikan harga barang.

Saya yakin tidak ada anak muda yang tolol akan membawa bom dan senjatapi, melainkan membawa semangat untuk melihat negara ini diuruskan dengan tatakelola urustadbir yang baik. Dunia berubah dengan anak muda pemberani , mempunyai idealisme, kemapanan intelektual serta citra yang ampuh. Mereka bukan inginkan mimpi bulan dan bintang , namun dengan permintaan asas, sediakan ruang pekerjaan, rendahkan harga barang, jauhi penyelewengan, basmi KKN yang semakin membarah dan mewabak ke seluruh sektor awam.

Ayuh anak muda, negara ini milik kamu semua, corakkan ia dengan keadilan dan kesejahteraan. Sambut tahun baru dengan tekad seteguh banjaran gunung, wajahkan Malaysia baldatun toyyibatun warabbun ghaffur.

***Dr. Ustaz riduan Mohd Nor ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, penulis dan juga pendakwah.