Rumah Felda Terbiar Usang, Apakah Kesudahannya

5219

Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN – Terdapat lebih 100 buah rumah yang dikesan sudah usang di sekitar Felda Jerangau, menunggu masa menyembah bumi.

Pengerusi Generasi PAS Felda Jerangau, Mohd Sidek Muhammad berkata adalah lebih baik sekiranya pihak Felda melepaskan tanah (tapak) rumah yang tidak berpenghuni yang sehingga kini ditumbuhi lalang dan semak samun.

“100 biji rumah yang dibiarkan tidak berpenghuni bukan satu jumlah yang sedikit.

“(Adalah lebih baik) jika tapak tanah ini dilepaskan kepada generasi kedua yang masih tidak memiliki kediaman sendiri.

“Didapati masih banyak anak-anak peneroka generasi kedua yang masih tinggal menyewa dan tinggal bersama ibu dan bapa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau rumah-rumah kosong di Felda Jerangau pada Khamis 11 Oktober.

Mohd Sidek yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Felda Jerangau (MPKK) Cawangan A, berharap agar kerajaan baru yang diberi mandat, memperjuangkan hak dan nasib generasi kedua anak Felda.

Beliau meyakini bahawa generasi kedua Felda seluruh Malaysia menghadapi permasalahan yang sama, dimana ianya harus dipandang serius, dan pihak berwajib mesti mencari solusi pada isu yang sudah lama ini.

“Apalah maknanya rumah dibiarkan tidak berpenghuni bertahun-tahun lamanya sedangkan generasi kedua masih lagi tidak memiliki kediaman?,” soal beliau.

Sementara itu, seorang anak peneroka Felda, Mohd Yusoff Yahaya, 47 menyatakan tidak sanggup lagi menjadi penyewa sehingga ke akhir hayat.

“Dan ada antara generasi kedua didalam Felda ini bukan sahaja tinggal bersama ibu bapa.

“Malah dalam satu rumah ada yang tinggal bersama tiga keluarga.

“Perkara ini harus diselesaikan jangan biarkan kami menderita di tanah kami sendiri, dimana ibu bapa kami adalah generasi awal yang meneroka tanah di sini,” ucapnya.

Menurutnya lagi pihak yang berwajib dan pengurusan Felda harus memikirkan nasib generasi kedua agar terbela, tidak dianak tirikan di tanahair sendiri, terkontang-kanting, dan terabai tanpa pembelaan.