RM4.24 Billion Pelaburan Ke Terengganu

39493

Oleh : Suhaimi Taib

Kuala Terengganu – Kerajaan Terengganu berjaya memperolehi pelaburan asing dan tempatan sebanyak RM4.24 billion sehingga suku tahun pertama tahun ini.

Menteri Besar,  Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan kepada sumber daripada pihak ‘Malaysia Investment Development Authority’ (MIDA), sebanyak tujuh pelabur membuat pelaburan di negeri ini termasuk empat pelabur dengan pelaburan berjumlah RM73.12 juta dibawa masuk ke negeri itu sepanjang tahun lalu.

“Rekod pelaburan diukur berdasarkan kelulusan lesen pengilang yang dikeluarkan oleh pihak MIDA, ” katanya ketika menjawab soalan bertulis Ustaz Haji Hishamuddin Abdul Karim di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 14 di sini pada 3 Julai.

Dr. Ahmad Samsuri berkata,  daripada jumlah itu sebanyak RM37.51 juta adalah pelaburan tempatan manakala pelaburan asing berjumlah RM35.62 juta.

“Sebanyak tiga pelaburan  diperolehi  sepanjang Januari hingga Mac tahun ini melibatkan pelaburan asing berjumlah, RM4.16 Billion,” kata beliau.

Sementara itu ketika menjawab soalan lain, Menteri Besar berkata, Kerajaan Terengganu mengeluarkan peruntukkan sebanyak RM8.5 juta untuk mempromosikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017 melalui Pesona Terengganu dan Beautiful Terengganu.

Manakala jumlah pelancong melawat Terengganu sempena TMT tahun lalu ialah berjumlah 4,907,675 orang.

Ini termasuk 3,926,140 pelancong dalam negara manakala selebihnya seramai 981,535 orang adalah pelancong asing.

“Kiraan jumlah pelancong dibuat berasaskan kepada kaedah pengumpulan data dari hotel,  resort,  tiket taman laut dan lapangan terbang yang diselaraskan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, ” jelasnya.