KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Terengganu berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk Tabung Kemanusiaan Rohingya.
Ketuanya Hajah Zarani Othman berkata, kesemua duit sumbangan tersebut akan diserahkan kepada PAS Relief program ‘Malam Untukmu Rohingya’ pada 9 November nanti.
“Alhamdulillah syukur dipanjatkan kepada Allah serta penghargaan jazakallahu khairan kathiro kepada seluruh kepimpinan Dewan Muslimat PAS semua Kawasan,
“Ameerah serta muslimat cawangan yang telah berusaha mengumpulkan sumbangan untuk Misi Kemanusian Rohingya ini,
“Setelah beberapa minggu siri kutipan diadakan, akhirnya mereka berjaya mengumpulkan lebih RM30,000,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan ringkas yang diadakan di pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu pada Jumaat, 3 November.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, 2 orang orang wakil muslimat akan bersama delegasi Misi Kemanusiaan PAS Relief Terengganu ke kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh pada 12 hingga18 November depan.
Katanya, selain mengagihkan bantuan makanan, Misi tersebut merancang melaksanakan pelbagai projek, antaranya pembinaan sekolah, telaga tiub, pakaian dan selimut, pondok penginapan ‘Shelter Home’ dan bilik mandi wanita.
Justeru beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sumbangan dan mohon mendoakan keselamatan perjalanan delegasi tersebut.
“Doakan permusafiran dan agar misi ini berjaya demi untuk membantu saudara Rohingya kita di sana. Ini antara sumbangan kita buat mereka yang menderita dan kesedihan ditimpa musibah dan kezaliman,
“Terima kasih kepada semua penyumbang yang menginfakkan sebahagian harta mereka. Hanya Allah mampu membalas segala kebaikan kalian dan saya doakan semoga dilimpahi rezeki yang berkat dan berlipatganda ke atas kita semua,” kata beliau.