Ramai Sedang Menunggu-menunggu Peluang Tukar Kerajaan

3826

Oleh : Haji Yahaya Ali

Kita sekarang berada di ambang PRU14 dan dengan keputusan terbaru kerajaan untuk adakan sidang parlimen terakhir mulai 5 Mac hingga 5 April bermakna dalam bulan Febuari selepas Hari Raya Cina hingga Mac tidak mungkin diadakan pilihanraya umum jika sidang parlimen tidak ditangguhkan lebih awal.

Adalah dijangkakan kerajaan UMNO-BN akan meminda sempadan pilihanraya (tidak melibatkan tambahan kerusi) yang memerlukan kelulusan ‘simple majority’ sahaja sebagai usaha terakhir memanjangkan talian hayat mereka.

Soal parti mana dan pemimpin mana yang kita hendak pilih, ia terpulanglah kepada hak masing-masing dan tidak perlu diperlekehkan keputusan mana-mana pihak. Bagi penyokong Parti Islam Semalaysia (PAS) tidak ada khilaf apabila PAS bertanding, mereka akan tolak samada UMNO-BN atau Pakatan Harapan (PH).

Ia sekaligus bermakna mereka akan tolak samada Najib atau Mahathir. Mereka ini adalah Perdana Menteri (PM) atau bekas PM yang bermasalah, punyai lebih banyak rekod buruk di zaman masing-masing. Rakyat sekarang ini dahagakan perubahan yang menyeluruh.

Mereka sudah muak dengan dua tiga kerat pemimpin yang mendominasi politik Malaysia sejak berpuluh tahun, seolah-olah mereka sahaja yang layak dipilih sebagai pemimpin dan tahu memerintah negara ini.

PAS masuk bertanding sejak tahun 1955 (pilihanraya kali pertama sebelum merdeka) menentang UMNO sehingga PRU13 dan punyai banyak pengalaman politik termasuk mengadakan kerjasama politik (tahalluf siyasi) dengan parti-parti lain.

Apa pun pendirian yang diambil oleh pemimpin PAS adalah berdasarkan prinsip Islam dan natijah pengalaman yg telah dilalui. Parti-parti yang baru ditubuhkan khususnya PAN dan PPBM yang belum teruji dan baru belajar menentang UMNO tidak perlulah bersikap terlalu arif dalam sepak terajang politik Malaysia seolah-olah mereka adalah parti yang punyai pengalaman yang banyak dalam pilihanraya.

Kajian yang dibuat menunjukkan penubuhan parti-parti baru ini turut memecahkan lagi kekuatan politik dan masa depan orang Melayu-Islam dalam jangka panjang. Timbul persoalan secara logiknya mengapa perlu ditubuhkan parti-parti baru yang dipimpin oleh orang Melayu-Islam kalau tidak kerana kepentingan dan agenda politik pemimpin masing-masing.

Apabila PAS mengambil keputusan bertanding secara bersendirian melalui Gagasan Sejahtera (GS), jangan pula dari awal-awal lagi PAS dituduh bersekongkol dengan UMNO untuk mengalahkan PH. Kalau PH yang baru ditubuh dan belum lagi rasmi statusnya, dari awal lagi sudah ada sikap seumpama ini bermakna mereka tidak punyai keyakinan diri untuk menang.

Apa yang menjadi hasrat PAS ialah untuk mengajak rakyat pada kali ini untuk menolak UMNO dan menggantikan sokongan mereka kepada PAS. PAS berhasrat untuk ganti UMNO sebagai parti tulang belakang dalam pembentukan kerajaan persekutuan yang akan datang.

Tidak ada perkara mustahil dalam dunia politik. Ini bukan soal PAS tidak ada ‘track record’ yang baik apabila bersendirian. Kajian yg dibuat, dapatannya ialah org Melayu mahu ada satu parti yang betul-betul mewakili orang Melayu-Islam jika mereka mahu melepaskan sokongan terhadap UMNO yang sudah begitu korup dan lemah. Maka disinilah PAS dilihat akan menjadi pilihan, insya Allah.

Apa yang penting dalam perjuangan PAS ialah membawa agenda Islam yang boleh diterima oleh majoriti rakyat terutama yang beragama Islam. Untuk menyelamatkan Malaysia bukan sekadar menjatuhkan Najib atau menaikkan Mahathir kerana mereka ini dari spesies yang sama (UMNO) yang ada sejarah hitam masing-masing. Apabila kita tolak UMNO bukan sekadar pemimpinnya tetapi dasar pragmatik UMNO itu sendiri.

Dalam kemarahan kita kepada Najib dengan pelbagai skandal terutama 1MDB, jangan pula kita cepat lupa pelbagai skandal besar yang berlaku dalam zaman Mahathir yang tidak kurang kerosakannya kepada negara.

Zaman beliaulah berlakunya persempadanan semula kawasan pilihanraya yang merugikan kekuatan politik orang Melayu-Islam sebagaimana berlakunya penyalahgunaan kuasa terhadap tahanan ISA tanpa bicara, campur tangan secara serious dalam insitusi kehakiman, kes Perwaja, MAS, Memali dan lain-lain. Kemarahan rakyat kepada Najib tidak jauh bedanya dengan kemarahan mereka terhadap Mahathir.

PH tidak mungkin boleh membawa agenda Islam bersama DAP dan Mahathir dengan pendirian mereka selama ini. DAP sangat sensitif dengan agenda Islam sebagaimana mereka pernah putuskan hubungan dengan PAS di zaman kepimpinan Allahyarham Ustaz Fadhil Mohd Nor sewaktu Allahyarham Tuan Guru Nik Abd Aziz masih hidup.

Sikap Mahathir yg sangat alergik terhadap hukum Islam semua orang tahu. Sebab itu kita tidak mahu hanya sekadar hendak ke Putrajaya dan menjatuhkan Najib, kemudian kita berbalah lagi sesama kita dan mengambil suatu masa yang lebih lama lagi untuk membawa agenda Islam.

Terpulanglah kepada rakyat dan takdir Allah SWT tentang perjuangan Islam yg dibawa oleh PAS. Apa yang jelas perjuangan politik PAS adalah berdasarkan kepada prinsip Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah. Ia bukan sekadar perjuangan menegakkan hukum hudud tetapi perjuangan untuk mengubah seluruh sistem dan perundangan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan disunnahkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sebagai seorang Islam, kita kena yakin hanya dengan kembali kepada Islam sahaja yang boleh menyelesaikan semua masalah termasuk soal ekonomi dan keselamatan hidup rakyat Malaysia. Inilah yang selalu dikatakan utk mendapat redha Allah bukan semata-mata diukur berdasarkan cepat atau lambat mencapai kemenangan.

Tidak semua perjuangan Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah dihubungkan dengan kejayaan menguasai kerajaan. Di antara yang menegakkan kerajaan Islam termasuk Nabi Allah Sulaiman, Nabi Yusof dan Nabi Muhammad SAW. Demi untuk mendapat redha Allah, kita tidak boleh mengatakan perjuangan Islam melalui Nabi Nuh umpamanya adalah gagal dan tidak kena dari segi pendekatan dan strategi kerana tidak ramai pengikut (setengah riwayat mengatakan hanya 80 orang sahaja) walau pun berjuang selama 950 tahun, suatu tempuh yang begitu lama.

Sedangkan Rasul-Rasul yang dipilih oleh Allah adalah manusia yang paling pintar di zaman masing-masing. Tetapi apa yang penting mereka mendapat redha Allah kerana berjaya menyampaikan risalah Islam dengan menempuh pelbagai cabaran dan ujian.

Nabi Muhammad sendiri dalam usaha untuk mengajak kabilah-kabilah Arab kepada Islam sebelum hijrah menolak kerjasama yang merugikan perjuangan Islam. Nabi menolak kerjasama dengan Bani Amir yang sanggup menerima Islam tetapi menetapkan syarat untuk menjadi ketua sekiranya Islam menang.

Nabi juga menolak kerjasama dengan Bani Syaiban yang sanggup menerima Islam tetapi tidak mahu bersusah payah berhadapan dengan kuasa besar pada waktu itu iaitu Farsi. Hanya kabilah dari Yathrib sanggup sehidup semati bersama RasuluLlah dengan berlakunya ‘Bai’atul Aqabah’ untuk mempertahankan Islam. Ini adalah seerah Nabawiyyah yang kita wajib mengambil iktibar bahawa Nabi mengambil sikap tegas dlm soal bertahalluf dengan mana-mana pihak.

PAS sudah tentu bebas untuk bertanding di mana-mana saja kawasan pilihanraya terutama di kawasan yang UMNO bertanding tanpa terikat kepada pembahagian kerusi. PAS akan bertanding melebihi bilangan untuk mendapat ‘simple majority’ (112 kerusi) bagi membentuk kerajaan. Dalam konteks politik Malaysia dan dari segi sejarahnya tidak ada mana-mana parti yang menang dengan bilangan ‘simple majority’ dan membentuk kerajaan sendiri.

UMNO sendiri terpaksa bergabung dengan parti-parti lain untuk membentuk kerajaan BN. Sebab itu apabila Presiden PAS mensasarkan sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen untuk dimenangi bukan bermakna kawasan-kawasan pilihanraya lain mustahil untuk dimenangi. Ia adalah suatu ukuran bahawa dengan bilangan tersebut PAS mampu berunding dengan mana-mana pihak yang juga memerlukan sekurang-kurangnya ‘simple majority’ untuk membentuk kerajaan. Tetapi pada waktu itu PAS hanya bersedia terlibat dalam kerajaan dengan syarat ada konsensus untuk melaksanakan agenda Islam.

PAS tidak bercakap kosong apabila bercita-cita menawan beberapa negeri dan menjadi ‘King Maker’ dalam pembentukan kerajaan di peringkat persekutuan.
Sebagai persediaan, selain dari tawaran dalam manifesto, PAS negeri Terengganu umpamanya sudah mempunyai Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) dalam pelbagai sektor bagi membangunkan negeri Terengganu sebagai negeri ‘Maju, Berkat, Sejahtera’.

Begitu juga di peringkat nasional, PAS Pusat sudah bersedia dengan pelan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) dan Dokumen Hijau untuk membangunkan negara ini sekiranya ditakdirkan Allah mendapat mandat rakyat. Ramai penyokong PAS dari kalangan pegawai-pegawai tinggi kerajaan, golongan profesional dan teknokrat sedang menunggu-menunggu peluang keemasan ini bagi menterjemahkan apa yang diperjuangkan oleh PAS selama ini, insya Allah.

***Haji Yahaya ialah Timbalan Perusuhjaya III PAS Terengganu