Ramadhan Mendidik Kita Bezakan Antara Keperluan Dan Kehendak

3408

Oleh : Dr Azman Ibrahim

Kehendak manusia tak terbatas. Kita pergi Bazar Ramadhan jam 4 petang, tengok ayam pecik nampak sedap, kuih akok pun sedap, sup gear box lagi sedap, ikan keli percik tak kurang sedapnya, murtabak pun membuka selera, air soya sedap, air tebu pun terliur juga, air laichi kang lagi sedap.

Malah pada waktu ini kalau bata tanah liat dipanggang atas api lalu disiram dengan kuah percik, nescaya akan nampak sedap!

Maka ramai yang membeli berdasarkan kehendak. Kiri kanan bimbit beg plastik berisi lauk dan kuih-muih.

Kalau sebelum ini, hanya sebilangan kecil yang tunggu masuk waktu solat maghrib, maka petang ini waktu maghrib akan ditunggu dengan penuh kerinduan.

Allahu Akbar! Allahu Akbar… Bergemalah azan maghrib. Kita minum segelas air, makan 3 biji tamar, alhamdulillah… sudah terasa kenyang. Rupanya hanya sekadar ini sahaja keperluan kita.

Lauk pauk dan kuih-muih penuh meja yang kita beli adalah kehendak dan bukannya keperluan. Akhirnya akan jadi rezeki tong sampah!

Ramadhan bulan berkat akhirnya dicemari dengan pembaziran yang berdosa.