KUALA TERENGGANU – Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Fasa 1 kerajaan PAS Negeri Terengganu adalah satu langkah proaktif bagi membantu rakyat berdepan kesan krisis ekonomi global semasa.
Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Muhamad Hamdi Harun berkata, konflik Asia Barat melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya telah memberi tekanan besar kepada ekonomi dunia.
“Termasuk peningkatan kos bahan api, logistik, insurans serta rantaian bekalan. Kesan ini akhirnya dirasai oleh rakyat melalui kenaikan kos sara hidup dan harga barangan,”
“tindakan kerajaan negeri memperkenalkan pelan rangsangan tersebut membuktikan kepimpinan negeri bukan sekadar memahami denyut nadi rakya bahkan segera bertindak dengan pendekatan yang bersasar dan berkesan.” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, antara inisiatif yang diumumkan dan dilihat amat signifikan ialah pemberian moratorium kepada peminjam di bawah Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) selama tujuh bulan bermula Jun hingga Disember 2026.
“Moratorium ini akan memberi manfaat kepada 783 peminjam dengan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM2.1 juta.
“Penambahan dana sebanyak RM2 juta pada tahun 2026 juga menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memastikan lebih ramai usahawan kecil terus dibantu dan tidak terhimpit dalam suasana ekonomi mencabar,” jelasnya.
Selain itu katanya, pemberian moratorium kepada peminjam di bawah Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) bermula Mei 2026 hingga April 2027 dengan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM2.9 juta melibatkan kira-kira 400 penerima manfaat merupakan langkah yang sangat wajar.
“Golongan petani adalah antara tulang belakang keselamatan makanan negeri dan bantuan sebegini mampu meringankan beban mereka dalam meneruskan aktiviti pertanian,” katanya.
Oleh itu, DPNT turut menyambut baik pemberian insentif kepada pesawah sebanyak RM100 bagi setiap tan metrik yang dikeluarkan dengan insentif maksimum RM1,000 kepada setiap pesawah bagi pengeluaran melebihi 10 tan metrik.
“Inisiatif ini yang dijangka memberi manfaat kepada 4,513 pesawah dengan peruntukan RM3 juta jelas memperlihatkan keutamaan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pengeluaran makanan dan menghargai jasa pesawah yang selama ini berkorban tenaga demi keperluan rakyat,” katanya.
Beliau menambah, penilaian semula Jadual Kadar Harga bahan binaan terpilih serta penumpuan kepada projek kecil berimpak tinggi membuktikan kerajaan negeri mengambil pendekatan seimbang antara membantu kontraktor, menyokong ekonomi setempat dan memastikan projek pembangunan terus berjalan tanpa membebankan pihak pelaksana.
“Penyelarasan semula Belanjawan 2026 pula menunjukkan sikap bertanggungjawab kerajaan dalam mengurus kewangan negeri secara berhati-hati, realistik dan berpaksikan keutamaan rakyat,” katanya.
Justeru kata beliau, Pemuda PAS Terengganu percaya inisiatif tersebut bukan sekadar bantuan jangka pendek, tetapi sebahagian daripada ikhtiar besar kerajaan negeri untuk membina daya tahan ekonomi rakyat.
“Dalam suasana dunia yang tidak menentu, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang cakna, cepat bertindak dan berani membuat keputusan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau menyeru seluruh rakyat, usahawan, petani, pesawah dan pemain industri tempatan agar memanfaatkan sebaik mungkin inisiatif yang telah disediakan.
“Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negeri dan terus mengukuhkan Terengganu sebagai negeri yang maju, berkat dan sejahtera,” katanya.


























