PRU14: ‘Politik Persepsi’ Pilihan Rakyat?

3594

Oleh Suhaimi Taib

Kuala Terengganu – Rakyat Malaysia perlu bijak menentukan masa depan negara dengan berpandangan jauh dan mengundi dalam sesuatu pilihanraya berasaskan fakta dan kebenaran.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bukannya memilih persepsi serta sentimen benci kepada Barisan Nasional (BN) semata-mata.

Para pengundi, katanya, perlu juga melihat kepada faktor parti yang bersih rasuah dan calon yang lebih berwibawa sebagaimana dikemukakan PAS dalam Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu.

“Oleh kerana pengundi terpengaruh dengan politik persepsi, sentimen marah kepada BN dan Najib, Bekas Presiden UMNO maka mereka tidak mengambil kira faktor dan prospek calon yang ada pada PAS bagi menerajui pentadbiran negeri dan negara, ” kata Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, ketika diinterbiu oleh sebuah media di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan. negeri (ADUN) Batu Burok berkata, di Negeri Selangor dan juga di negeri-negeri lain umpamanya, PAS telah mengemukakan calon ADUN dan Ahli Parlimen yang sangat baik, menggabungkan di antara ilmuan Islam dan golongan profesional.

Bagaimanapun ini semua tidak dilihat dan dijadikan asas untuk menentukan siapa calon yang layak dipilih di Selangor menyebabkan PAS masih tidak menjadi kerajaan di negeri itu.

Berbanding dengan Terengganu dan Kelantan, pengundi tidak nampak parti lain menjadi pilihan mereka untuk menerajui kerajaan kedua-dua negeri tersebut.

“Walaupun PAS mengambil pendekatan tidak popular dengan tidak mengikut sentimen dimainkan Pakatan Harapan (PH) tetapi sebagai parti Islam, PAS bertanggungjawab untuk memastikan masyarakat berada di atas landasan yang betul dan tepat.

“PAS tidak mahu rakyat mengikut politik persepsi yang dibawa PH kerana ia boleh membawa akibat buruk dikemudian hari, apabila kebenaran terserlah dan apa yang dinyatakan selama ini tidak dapat dibuktikan kebenarannya, ” jelasnya.

Menurutnya pendekatan yang diambil oleh PAS dalam PRU14 yang lalu adalah satu pendekatan yang betul berasaskan tawaran manifesto parti yang lebih melihat kepada penyelesaian masalah rakyat dan negara.

Lagipun katanya PAS memasuki PRU14 dengan imej yang bersih tidak seperti parti-parti yang lain.

Satu kekurangan yang ada dalam sistem demokrasi berparlimen ialah tidak ada halangan mana-mana parti politik yang bertanding untuk memainkan sentimen rakyat dengan persepsi yang salah terhadap sesuatu isu sehingga rakyat tidak membuat pilihan yang betul dan tepat dalam PRU14 yang lalu.