PRU 14 Titik Penting Memilih Pemimpin Patuh Syariah

1578

Oleh : Rohayati Ripin

BESUT – Masyarakat diseru agar kembali kepada Allah dan melaksanakan syariatNya dan menjadikan pilihan raya umum (PRU) kali ke-14 nanti sebagai ‘titik penting’ bagi memilih pemimpin yang benar-benar amanah dan mengutamakan rakyat daripada diri mereka sendiri.

Ketua Ameerah Kawasan Besut, Suzana Zakaria berkata, persepsi wanita muda terhadap terma politik harus diperbetulkan kerana politik atau ‘siyasah’ itu adalah salah satu cabang dalam Islam yang menekankan tiga aspek tarbiyah iaitu rohani, jasmani dan pemikiran serta ia bersifat mulia.

“Kita mesti yakin dan percaya bahawa ajaran Islam adalah murni dan bersih dengan konsep menyerah diri kepada ajarannya, dengan ikhlas serta percaya Islam akan kembali mentadbir dunia sekali lagi,

“Kalau dahulu ia boleh menjatuhkan kuasa besar dunia dan membetulkan kehidupan dunia, kali ini kebangkitan Islam akan dapat mengambil alih dan kembali memimpin dunia, insyaAllah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Himpunan Muslimat Muda (HAMRA) peringkat kawasan Besut di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah, Jerteh, Jumaat, 8 September, disini.

Menurutnya, pendidikan politik Islam juga membantu wanita muda dalam mengakses maklumat dan isu yang tepat serta mencukupi dengan menjadi landasan kepada mereka bagi memastikan mereka mampu membuat keputusan yang tepat serta memiliki prinsip politik Islam yang jelas.

“PAS hendak membina generasi wanita muda yang sentiasa cakna dan berani menyuarakan hak-hak dan kepentingan mereka sebagai rakyat Malaysia dan isu-isu yang berkaitan dengan negara sama ada yang bersifat dalaman mahupun hubungan luar dengan negara lain,

“Serta melahirkan generasi wanita muda yang menjadikan Islam sebagai landasan dan bebas dari sebarang sentimen perkauman sempit serta mampu untuk hidup bersama dalam suasana kepelbagaian bangsa dan agama dengan harmoni dan sejahtera

“serta menggalakkan penyertaan wanita muda dalam membincangkan penyelesaian kepada permasalahan masyarakat di dalam komuniti mereka,” jelas beliau.

Justeru, kata beliau, Himpunan Muslimat Muda (HAMRA) yang diadakan ini diharap dapat melahirkan wanita muda yang celik dan matang politik serta meningkatkan kefahaman dalam merungkai cabaran yang dihadapi para wanita masa kini.