Firman Allah:
قَالُواْ يَٰشُعَيۡبُ مَا نَفۡقَهُ كَثِيرٗا مِّمَّا تَقُولُ وَإِنَّا لَنَرَىٰكَ فِينَا ضَعِيفٗاۖ وَلَوۡلَا رَهۡطُكَ لَرَجَمۡنَٰكَۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيۡنَا بِعَزِيزٖ٩١ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَرَهۡطِيٓ أَعَزُّ عَلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَٱتَّخَذۡتُمُوهُ وَرَآءَكُمۡ ظِهۡرِيًّاۖ إِنَّ رَبِّي بِمَا تَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ٩٢
“Kaum Nabi Syuaib berkata: “Wahai Syuaib! Kami tidak banyak memahami daripada apa yang kamu ucapkan (berdakwah). Kami melihat bahawa kamu seorang yang sangat lemah. Kalau tidak kerana kumpulan yang melindungimu, nescaya kami merejam kamu, padahal kamu bukanlah seorang yang mulia gagah perkasa dalam kalangan kami”. (91); Nabi Syuaib berkata: “Wahai kaum bangsaku! Adakah kumpulan yang melindungiku itu kamu lihat lebih perkasa daripada Allah untuk menghukum kamu, dan kamu jadikan Allah itu di belakang (dipandang lemah). Sesungguhnya Tuhanku (Allah) itu Maha Mengetahui apa-apa yang kamu amalkan (daripada kufur dan perangai buruk menipu timbangan dan sukatan”. (92) (Surah Hud: 91-92)
Mengikut Tafsir As-Saadi bahawa kumpulan yang melindungi Nabi Syuaib A.S. terdiri daripada kalangan Islam dan bukan Islam.
Firman Allah kepada umat Nabi Muhammad S.A.W.:
۞عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٩
“Mudah-mudahan Allah jadikan hubungan kamu dengan mereka yang pernah bermusuh terhadap kamu rasa kasih sayang, dan Allah Maha Berkuasa. Dan Allah juga Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (7); Allah tidak melarang kamu dalam hubungan dengan orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi kamu disebabkan agama (Islam) dan tidak menghalau kamu daripada tanah air kamu, bahawa kamu berbuat baik terhadap mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah itu sangat mengasihi terhadap mereka yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah melarang kamu terhadap orang-orang bukan Islam yang memerangi kamu disebabkan agama (Islam) dan menghalau kamu daripada kampung halaman kamu dan menunjukkan sikap untuk menghalau kamu, Allah melarang kamu berwala’ (berkawan setia secara mutlak) terhadap mereka, dan sesiapa yang berwala’ terhadap mereka, nescaya dia menjadi dari kalangan orang-orang zalim (meletakkan sesuatu di tempat yang salah). (9) (Surah Al-Mumtahanah: 7-9)
Rasulullah S.A.W. adalah contoh teladan dalam melaksanakan perintah Allah dengan penuh kebijaksanaan bagi menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia tanpa terkongkong dalam hubungan dengan penganut Islam sahaja, kerana risalah Islam itu untuk seluruh manusia.
Maka Baginda Nabi S.A.W tidak memutuskan hubungan dengan seluruh manusia termasuk kalangan bukan Islam, berpandukan petunjuk Allah sama ada sebelum berkuasa di Makkah, ketika berkuasa memerintah negara di Madinah, sehinggalah sewaktu mencapai kemenangan selepas Fathu Makkah.
Rasulullah S.A.W. tidak meletakkan semua penganut bukan Islam dalam satu bakul dan tidak semuanya dimusuhi dengan sekeras-kerasnya sehingga meramaikan musuh Islam.
Ayat-ayat Al-Quran yang disebut di atas adalah petunjuk daripada Allah, supaya membahagikan orang-orang bukan Islam kepada kumpulan ekstrem dan tidak ekstrem. Bahkan daripada kalangan yang ekstrem juga tidak sama pendekatannya, ada yang keras berperang dan ada yang keras berhujah.
Ketika di Makkah dalam keadaan lemah, Rasulullah S.A.W. menjalinkan hubungan dengan keluarganya seperti Abu Thalib yang tidak menganut Islam dan mendapat perlindungan daripada Mut’im bin ‘Aadi daripada kalangan bukan Islam yang bencikan kezaliman atau tidak ekstrem.
Ketika di Madinah pula, Baginda Nabi S.A.W. memimpin negara masyarakat majmuk, dengan menyatukan umat Islam dan mengajak bukan Islam yang tidak ekstrem daripada kalangan Yahudi, Kristian dan Musyrikin yang tidak kejam supaya bergabung dalam Piagam Madinah yang terkenal menjadi asas kepada kontrak sosial dalam negara masyarakat majmuk.
Bahkan ketika mencapai kemenangan besar, paling berkuasa dan paling kuat selepas membebaskan Makkah, Rasulullah S.A.W mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai, sehingga pada akhirnya kepada kalangan yang disenaraikan penjenayah perang apabila mereka memohon pengampunan.
Firman Allah:
وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ٣٥
“Dan tidaklah sama bezanya di antara baik dan jahat, balaslah dengan cara yang terbaik terhadap orang yang bermusuh di antara kamu dengannya, nescaya musuh bertukar menjadi rakan yang kasih kepada kamu. (34); Dan tidaklah dapat menerimanya melainkan oleh orang yang dikurniakan Allah berjiwa besar dengan kesabaran paling tinggi”. (35) (Surah Fussilat: 34-35)
Maka pendekatan damai hendaklah diutamakan walaupun ketika berperang. Firman Allah:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٢
“Dan jika sekiranya mereka cenderung kepada perdamaian maka cenderunglah juga (kepada berdamai) dan bertawakkal kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61); Dan jika sekiranya mereka mahu menipumu, maka cukuplah Allah (yang menyelamatkan kamu)”. (62) (Surah Al-Anfaal: 61-62)
Oleh itu dimeteraikan Perjanjian Hudaibiyyah yang terkenal dalam sejarah Islam, walaupun ketika Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya dihalang menunaikan umrah pada tahun itu. Ini menunjukkan sikap politik matang mereka yang mahukan perdamaian, sehingga ditinggalkan ibadah umrah pada tahun itu dan ditangguh ke tahun hadapan, walaupun sudah memakai pakaian ihram dan membayar denda.
Namun Rasulullah S.A.W. sangat tegas mempertahankan dasar dan matlamat perjuangan Islam, sepertimana dalam ucapannya kepada bapa saudara, Abu Thalib yang membawa tawaran yang lumayan tetapi syaratnya meninggalkan Islam:
يا عمّ، والله لو وضعوا الشمس في يمينى والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته. (رواه الطبراني)
“Wahai bapa saudara kesayanganku, Demi Allah! Kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (perjuangan Islam) sehingga Allah memberi kemenangan atau aku mati kerananya, nescaya aku tidak meninggalkan urusan ini”. (Riwayat At-Thabrani)
PAS menjadikan Al-Quran, Sunnah Rasulullah S.A.W. dan amalan generasi awal sebagai petunjuk tertinggi dan garis panduan demi melangsungkan perjuangan Islam dengan beristiqamah melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
PAS sejak bermula menentang penjajah dan selepas kemerdekaan sehingga kini, sentiasa menilai politik semasa yang sentiasa berubah mengikut cerminan Islam.
PAS bersama UMNO dan lain-lain ketika menuntut kemerdekaan dan perjuangannya tidak bersama Komunis.
PAS menerima konsep Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak kebebasan beragama lain, tetapi makna Islam mengikut tafsiran perkataan Al-Din dalam Bahasa Al-Quran, bukan ‘religion’ dalam Bahasa Inggeris.
PAS menjadi parti pembangkang menentang konsep Jus Soli (kerakyatan yang terbuka dan longgar kepada kaum pendatang), namun mempertahankan hak istimewa Melayu dan Bumiputera.
PAS pernah bersama menubuhkan BN selepas Peristiwa 13 Mei 1969, dengan syarat PAS diberi hak membawa Islam mengikut penafsiran dan pendekatannya, sehingga akhirnya PAS dipecat daripada BN.
PAS pernah bersama Parti Semangat 46, pecahan UMNO berkonsepkan Islam adalah Al-Din.
PAS bersama PKR dan DAP dalam Barisan Alternatif (BA), tetapi keluar kerana ketegasan PAS dalam pelaksanaan Islam yang sepatutnya tidak diganggu oleh DAP.
PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) dan tegas bersama Islam, namun PAS tidak bersama dengan kalangan yang mahu menyamakan agama (pluralisme) ataupun ingin mencontohi parti Islam luar negara yang tidak sama pendekatan dan ruang demokrasi dengan negara kita, kerana demokrasi di Malaysia tidak mengharamkan parti bernama Islam. Akhirnya PAS terbuang dan mereka menubuhkan Parti Amanah mengikut pendekatan tersebut.
PAS bertegas bahawa Islam sahaja yang paling benar dan tinggi, dan menerima hak kebebasan beragama lain tanpa menghalang penganut bukan Islam mempercayai agama masing-masing yang benar di sisi mereka.
PAS menolak konsep semua agama adalah benar yang mengira semua agama sama sahaja.
Terkini, PAS beranggapan PRK Tanjung Piai adalah simbol bagi konsep Taawun demi perubahan peringkat nasional dan mewakili Muafakat Nasional, bukan sekadar ukuran satu Parlimen Tanjung Piai sahaja.
PAS melihat pakatan pembangkang memerlukan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk, iaitu MCA yang ada satu kerusi sahaja. Untuk PRU akan datang, formula ini mungkin berubah dengan melihat senario dan strategi semasa untuk memastikan kemenangan Muafakat Nasional di peringkat yang lebih besar.
“Islam Memimpin Perpaduan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 6 Rabiul Awwal 1441 / 4 November 2019