‘Pok Ya’ Tinggalkan Umno Sertai PAS

16544

Oleh ; Adli Mohamad

DUNGUN – Sikap mudah mesra pemimpin PAS, ‘ringan tulang’ dan sentiasa menyantuni masyarakat, antara sebab terbuka pintu hati bekas Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Kampung Minda, Zakaria Maa’dam menyertai PAS.

Beliau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pok Ya’ kini menyertai PAS, setelah sentiasa diziarahi beberapa kali oleh Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

“Ustaz Zali (Ghazali) dan Ustaz Wan Hassan datang menziarahi ketika saya sakit teruk. Saya sakit dalam bulan Mac dan sembuh pada bulan April.

“Ekoran (ziarah) itu saya selalu teringat kepada mereka berdua dan saya melihat kedua mereka ini sering datang ke kawasan Hulu Dungun ini, menyantuni orang kampung.

“Mereka berdua dilihat sering menemui orang kampung, menyantuni orang kampung dan menjadi pendengar yang setia kepada orang kampung, Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Barisan Nasional (BN) dulu tak pernah buat demikian dan sukar untuk penduduk meminta sebarang bantuan darinya,” ujar Pok Ya ketika hadir di Pusat Khidmat DUN Bukit Besi, 7 Oktober lalu.

Menurutnya, Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan sentiasa datang mendampingi orang kampung dan mudah menghulurkan bantuan.

“Pernah diceritakan oleh orang kepada saya, Ustaz Wan Hassan pernah menghadiahkan basikal yang baru dibeli dan dinaikinya dihadiahkan kepada ahli jemaah surau yang berhampiran rumahnya.

“Kenapa?, kerana dia (Ustaz) kasihan pada jemaah berkenaan yang mengadu basikal anaknya rosak hendak ke sekolah,” jelasnya.

Begitu juga, katanya dengan sikap Ustaz Zali (Ghazali) pun begitu, sering bertanyakan khabar kepada orang kampung dan juga bertanya segala permasalahan.

“Kerana akhlak (baik) pimpinan PAS, saya tidak teragak-agak untuk mengisi borang keahlian PAS. Di mana sebelum ini saya merupakan Setiusaha J3K Kampung Minda di zaman kerajaan BN memerintah.

“Setelah keluar dari parti (Umno) dan masuk PAS, tidak sangka di zaman PAS memerintah saya dilantik pula dan diberi tanggungjawab menjadi Pengerusi MPKK Kampung Minda,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata Pok Ya bahawa PAS adalah satu-satunya parti yang patut menjadi pilihan baharu kepada orang kampung.

“Ini kerana, perjuangan PAS adalah berteraskan Islam ingin membawa kebaikan kepada seluruh rakyat tanpa mengira masyarakat Islam atau bukan Islam.

“Sebut nama Kampung Minda, orang di sini (Hulu Dungun) memang mindanya sudah sebati dengan kerajaan yang dulu (Umno-BN) dan ada di antara mereka masih lagi tidak sedar akan perubahan kerajaan yang berlaku sekarang.

Menurut beliau, akan berusaha mendekati ahli-ahli Umno dengan mempromosikan PAS, kerana hanya parti itu mampu membawa kebaikan dan kesejahteraan.