Pilihan Raya Kerajaan Tempatan: Pandangan Presiden PAS, PM Tepat

2032

Oleh : MNA

KUALA TERENGGANU – Pandangan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai isu pilihan raya kerajaan tempatan adalah tepat dan amat sesuai dengan keadaan semasa dan realiti politik di Malaysia.

Ianya berkenaan taburan penduduk mengikut pecahan bangsa, tidak akan memberikan kesamarataan kepada pentadbiran di sesebuah kerajaan tempatan, yang mana jauh lebih bahaya, ia boleh mewujudkan pemisahan kaum yang serius.

Sekaligus, jurang ekonomi, pekerjaan, kependudukan juga akan menjadi tidak sama rata antara kaum.

Demikian antara fakta yang diberikan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Mohd Alghazali Abu Bakar ketika diminta mengulas jawapan Perdana Menteri ketika satu wawancara baru-baru ini yang menolak pilihan raya kerajaan tempatan.

Alghazali menyatakan sokongan terhadap kenyataan Perdana Menteri yang selari dengan kenyataan tegas oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum PRU 14 terhadap cadangan pimpinan Pakatan Rakyat itu.

Hujah lain beliau menolak pilihan raya ini ialah peranan ahli-ahli majlis sebenarnya bukan melibatkan penggubalan undang-undang bagi mengubah undang-undang bagi sesuatu bandar atau bandaraya.

Ianya lebih kepada kuasa melaksanakan pentadbiran dan pengurusan sesuatu tempat tersebut dan jelas, ianya tidak memerlukan kuasa pilihan raya bagi melantik ahli majlis, tetapi sesuai dengan lantikan berasaskan kelayakan dan kepakaran masing-masing.

“Sekiranya diadakan pilihan raya, mereka yang menang, tidak semestinya daripada kalangan yang menyokong kerajaan negeri, mungkin juga tidak berparti.

Jika ini berlaku, maka kebarangkalian rancangan dasar-dasar kerajaan negeri yang ditetapkan bagi bandar-bandar yang tertentu tidak dilaksanakan adalah sangat tinggi kerana ahli majlis tidak sehaluan.

Ianya akan menyusahkan banyak pihak dan paling terkesan, pastinya rakyat bawahan kerana sikap berpolitik yang melampau-lampau sesetengah pihak, tidak memberikan hasil yang dikehendaki.

Dan sudah pastinya, proses lantikan ahli majlis ini jelas lebih menjimatkan kos berbanding dengan pilihan raya yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi, masa dan juga keharmonian mungkin terjejas,” terang beliau lagi.

Alghazali juga mahu melihat sejauh mana keberanian DAP dan komponen lain dalam PH untuk mengeluarkan Bersatu dari gabungan mereka setelah kenyataan Tun menolak idea pilihan raya kerajaan tempatan itu.

Untuk rekod, PAS telah dikeluarkan dari Pakatan Rakyat sebelum PRU 14 dahulu atas salah satu alasannya kerana menolak rancangan bagi mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan.