Pilih BN Untuk Pastikan Bajet 2023 Direalisasi”, Sisi Ucapan Kurang Cermat PM?

196

“Kena pastikan BN menang (PRU15), kewangan sudah ada dan sedia untuk dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan di Felda Palong, semalam.

Kabinet Malaysia 2021 atau Kabinet Ismail Sabri dibentuk pada 30 Ogos 2021 selepas Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 pada 21 Ogos 2021 Kabinet ini juga dikenali sebagai Kabinet Keluarga Malaysia

Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ adalah terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), komponennya daripada; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah.

Ditambah dengan Barisan Nasional (BN) yang dianggotai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Persatuan Cina Malaysia (MCA) , Kongres India Malaysia (MIC) .

Kerajaan Ismail Sabri juga disertai oleh Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Parti Rakyat Sarawak, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Parti Demokratik Progresif.

Juga turut menyokong Ismail Sabri adalah Parti Bersatu Sabah dan Ahli parlimen bebas.

Justeru, belanjawan 2023 yang dibentangkan pada petang Jumaat adalah Belanjawan yang disokong oleh semua ahli-ahli Parlimen parti-parti diatas, bukan hanya oleh Barisan Nasional sahaja.

Oleh itu, tidak cermat Ismail Sabri ketika berucap di Felda Palong itu, berkempen dengan kata-kata yang demikian.

Perdana Menteri sepatutnya merasa malu sebagai seorang peguam dan ahli politik yang berpengalaman ‘menghasut’ warga Felda dengan fakta yang tidak tepat bahkan tersasar sebagai seorang bapa kepada ‘Keluarga Malaysia’.

Bajet 2023 yang bertema, responsif, bertanggungjawab dan reformis, berjumlah RM372.3 bilion adalah daripada dana rakyat, bukan dana Barisan Nasional.

Ramai yang memberi komen, belanjawan itu adalah satu perancangan kewangan yang baik untuk fokus bina semula, kukuhkan ekonomi, setelah menghadapi pandemik dan cabaran ekonomi global masa kini.

Sesungguhnya kandungan Belanjawan yang begitu molek dan membawa kemaslahatan wajar dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan, yang diberikan mandat selepas PRU15.