Menurut Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Hussain Awang, PAS menawarkan pemerintahan yang lebih baik kepada rakyat negeri Terengganu sekiranya diberi mandat memerintah selepas PRU-13 akan datang.
Beliau yang juga Pengarah bagi Himpunan tersebut berkata, PGU 7.0 adalah merupakan himpunan rakyat terakhir sebelum PRU-13.
Oleh itu, kata beliau, orag ramai dijemput untuk memberikan pandangan dan teguran, termasuk membincangkan ‘tawaran 100 hari’, program-program yang akan dilaksanakan dalam tempoh seratus hai sebaik PAS menjadi kerajaan negeri.
“Ini adalah PGU terakhir sebelum PRU13, yang akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kemuncaknya akan diadakan Dailog Manifesto PAS Terengganu bersama dengan pimpinan parti.
“Dailog terbuka dengan rakyat dan kita akan kemukakan tawaran-tawaran termasuk tawaran 100 hari jika PAS diberi mandat oleh rakyat pada PRU13 ini. Apa yang akan kita (PAS) lakukan dalam tempoh 100 hari kemenangan PAS di Terengganu, Insya’Allah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada satu majlis sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.
Menurutnya, PGU 7.0 juga adalah kesinambungan dari himpunan yang sama pernah diadakan di Kemaman, Besut, Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Dungun sebelum ini.
Namun, kata beliau pemilihan lokasi di Kampung Banggol Peradong, Teluk Pasu tidak ada kaitan dengan isu ‘Amanat Haji Hadi’ tetapi secara kebetulan sahaja.
“ Ini (lokasi) secara kebetulan dan setelah kita (PAS) kenal pasti beberapa tempat untuk lokasi PGU 7.0 didapati Kampung Banggol Peradong antara yang terbaik dan menjadi pilihan pihak penganjur.
“Tapi ini secara kebetulan sahaja di Banggol Peradong bukan kerana ‘Amanat Haji Hadi’, kerana lokasi banyak kemudahan, keluasan kawasan berhimpun dan sebagainya.
“Antara pengisian PGU 7.0 adalah pengistiharan beramai-ramai menyertai PAS. Mereka akan serah borang masuk jadi ahli PAS beramai-ramai, Insya’Allah,” jelasnya yang juga Pengarah PGU 7.0 kali ini.
Sementara itu, katanya isu ‘Amanat Haji Hadi’ yang telah lama dilupai oleh rakyat kini kembali hangat menjelang pilihan raya.
Menurut beliau, rakyat boleh menilai sendiri isu tersebut setelah beberapa kali melihat tidak ada ‘respon’ positif pihak kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) menyelesaikannya.
“Isu ‘amanat’ itu isu yang lama. Rakyat sudah tidak beri apa-apa perhatian lagi pada isu itu. Ianya bukan ‘amanat’ tetapi dibuat oleh orang tertentu dan peniaga dengan dinamakan sebagai amanat.
“Apa yang disebut (Amanat) ialah mengenai dengan tanggungjawab orang yang beriman, dan batas-batas seseorang yang beriman itu perlu dijaga supaya benar-benar menjadi orang yang beriman kepada Allah SWT.
“Bagi kita (PAS) ini isu lapuk dan rakyat sudah boleh menilai setelah beberapa kali Presiden PAS (Ustaz Abdul Hadi) ajak berbincang, bermuzakarah sama ada secara ilmiah atau pun politik. Tetapi tidak mendapat respon dari pihak kerajaan dan pihak bertanggungjawab,” jelasnya.





























