Peruntukan Setahun Wakil Rakyat Sudah ‘Habis Licin’

8186

Oleh : Rohayati Ripin (2R)

SETIU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional yang lalu telah menghabiskan peruntukan tahunan yang disalurkan untuk wakil rakyat sebelum Parlimen dibubarkan pada bulan April lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim berkata, peruntukan itu sepatutnya digunakan sehingga bulan Disember tetapi habis licin dan pihak kerajaan terpaksa meluluskan peruntukan baru dengan jumlah yang agak terhad.

Kata beliau, walaupun dengan jumlah yang agak terhad insya Allah ia mencukupi untuk menyumbang bakti yang terbaik untuk DUN Jabi.

“Peruntukan Program Bantuan Rumah (PBR) yang diperuntukan RM 500 ribu kepada ADUN BN sebelum ini telah habis digunakan,

 

“dan bukan setakat habis malah terhutang di Pejabat Daerah dengan jumlah mencecah ratusan ribu ringgit,

“Ini adalah salah urus dan salah tadbir pemimpin yang menyebabkan peruntukan yang sepatutnya disalurkan pada rakyat yang memerlukan tidak sampai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran PGU sebelah Dewan Sivik Jabi pada Ahad, 17 Jun.

Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan negeri cuba menyelesaikan isu yang tidak selesai sejak berpuluh tahun antaranya berkaitan solat jumaat di Masjid Matlain Badrin.

“dan kita juga menyelesaikan beberapa projek segera yang tertunggak yang diberi secara persetujuan mulut oleh bekas wakil rakyat yang lalu,

“serta menyelesaikan mengikut dokumen dan peraturan kewangan yang sedia ada,” ujarnya.

Katanya, pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersetuju membaiki jalan Jebak Puyoh di Kerandang di bawah kuota jalan pertanian.

“Jalan itu sebenarnya tak panjang… panjangnya sekitar satu kilometer lebih,

“cuma saya agak pelik wakil rakyat silih berganti bertahun tetapi tiada inisiatif untuk menyelesaikan jalan ini,” jelasnya.