KUALA TERENGGANU – Kuasa politik umat Islam di negara ini dilihat semakin terhakis berikutan perpecahan dalaman dan kegagalan membentuk kesatuan suara yang mantap, khususnya dalam kalangan parti-parti politik berteraskan Islam.
Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Terengganu, Prof. Madya Dr. Haji Wan Mat bin Haji Sulaiman berkata, keadaan itu semakin ketara sejak kebelakangan ini apabila perbezaan pendirian dan persaingan politik menyebabkan umat Islam tidak berpadu serta gagal memanfaatkan kekuatan sedia ada.
Ole itu kata beliau, semua pihak dalam kalangan Umat Islam Dan Melayu perlu mengambil tindakan segera.
“situasi berkenaan menuntut satu muhasabah menyeluruh agar umat Islam kembali menilai kedudukan dan strategi bagi membina semula kekuatan politik secara lebih tersusun dan berkesan.” ujarnya dalam satu temubual semalam.
Menurut Ustaz Wan Mat, kekuatan politik umat Islam tidak boleh dibangunkan tanpa asas perpaduan yang kukuh, khususnya melalui parti-parti politik Melayu-Islam yang mempunyai pengaruh serta sokongan akar umbi.
“Pada pandangan saya, untuk membina semula kekuatan ini, umat Islam perlu kembali menilai peranan parti-parti politik sedia ada.
“Ketika ini, PAS masih dilihat mempunyai kekuatan yang signifikan dalam kalangan orang Melayu, diikuti Umno dan BERSATU,” jelasnya.
Beliau berpandangan ketiga-tiga parti tersebut mempunyai potensi besar untuk menjadi platform penyatuan kuasa politik umat Islam sekiranya mampu mencari titik persamaan dan mengutamakan kepentingan ummah berbanding perbezaan politik sempit.




























