Isra’ dan Mikraj Peristiwa Agung Perkukuh Iman dan Jati Diri Umat Islam

267

KUALA TERENGGANU — Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan peristiwa agung yang menjadi anugerah besar Allah SWT kepada Rasulullah SAW dalam membina kekuatan iman dan jati diri Baginda serta umat Islam seluruhnya.

Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Dr Wan Sulaiman berkata, peristiwa tersebut bukan sekadar perjalanan luar biasa Rasulullah SAW, malah menjadi bukti kebenaran kewujudan nikmat syurga dan seksaan neraka yang diperlihatkan kepada Baginda sebagai pengajaran kepada umat manusia.

Katanya, peristiwa ini turut dirakamkan secara jelas dalam al-Quran melalui Surah al-Isra’ ayat satu yang menjelaskan kebesaran Allah SWT dan kebenaran peristiwa Isra’ dan Mikraj.

“Mesej utama kepada umat ini bahawa kehidupan selepas mati adalah satu yang benar, segala kebaikan yang dilakukan di dunia ini, dinilai dan dibalas oleh Allah dengan nikmat syurgaNya nanti, begitulah setiap kejahatan, dosa dan maksiat di dunia akan dibalas dengan seksaan hidup di neraka Allah nanti,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, peristiwa Mikraj turut menganugerahkan satu kewajipan paling istimewa kepada umat Islam iaitu solat fardhu lima waktu yang menjadi medium hubungan langsung antara hamba dan Pencipta.

“Solat yang disyariatkan melalui peristiwa ini mampu membentuk peribadi Muslim, berakhlak mulia, menjauhi dosa dan membina hubungan yang baik dengan Allah dan sesama manusia,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak khususnya institusi agama, masjid dan surau agar berganding bahu menyemarakkan penghayatan Isra’ dan Mikraj dengan menggalakkan solat berjemaah serta penambahan ilmu sebagai persediaan menyambut Ramadan.

Beliau turut menyatakan harapan agar seluruh rakyat Terengganu mengambil peluang mengisi bulan Rejab, Syaban dan Ramadan dengan amalan kebajikan demi mencapai keberkatan, kerahmatan serta kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

“Dengan pengisian rohani yang berterusan, kita berharap Terengganu akan terus kekal sebagai negeri yang berkat, maju dan sejahtera,” katanya.