Glamping with Pride’ ; Tiada Istilah Kemungkaran Kecil

264

KUALA TERENGGANU — Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan bahawa isu penganjuran program bertema “Glamping with Pride” tidak boleh dianggap remeh atau bersifat kecil, sebaliknya perlu ditangani secara serius kerana melibatkan usaha menormalisasikan perkara yang jelas bercanggah dengan fitrah, syarak dan nilai Islam.

Ketua Penerangannya, YB Ustaz Dato’ Haji Mohd Nor Hamzah berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang menyifatkan isu tersebut sebagai kecil amat mendukacitakan dan tidak selari dengan prinsip Islam yang mewajibkan amar makruf dan nahi mungkar.

Menurutnya, dalam neraca Islam, tidak wujud istilah ‘kemungkaran kecil’ apabila sesuatu perbuatan membawa kepada penghakisan nilai agama serta akhlak masyarakat.

“Sesebuah kemungkaran hanya kelihatan kecil kepada mereka yang memilih untuk memperkecilkan dosa dan mengendurkan kewajipan amar makruf nahi mungkar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa pembinaan negara menurut Islam tidak bermula semata-mata dengan aspek ekonomi dan fizikal, sebaliknya bertitik tolak daripada pembentukan nilai, adab dan disiplin moral masyarakat.

Sehubungan itu, isu yang menyentuh sensitiviti agama dan akhlak awam tidak wajar diketepikan walaupun dianggap kecil oleh sesetengah pihak.

Tambahnya, Islam mendidik umat agar peka terhadap kerosakan pada peringkat awal kerana kebinasaan besar sering bermula daripada kelalaian terhadap perkara yang kelihatan kecil.

“Teguran dan kebimbangan yang disuarakan masyarakat beragama wajar diraikan, bukan dipandang remeh atau diperkecilkan,” tegas beliau.

Mengulas tanggungjawab pemimpin, beliau menegaskan bahawa pendekatan memperlekeh atau mengabaikan kemungkaran bercanggah dengan ajaran Rasulullah SAW, yang meletakkan kewajipan mencegah kemungkaran berdasarkan kemampuan dan kedudukan seseorang.

Katanya, kedudukan Menteri Hal Ehwal Agama bukan sekadar individu biasa, sebaliknya memegang autoriti dan amanah negara yang menuntut tindakan melalui kuasa serta dasar, bukan sekadar pemantauan atau mengecilkan isu.

“Kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah isu ini remeh hanya akan membuka ruang kepada pihak tertentu untuk terus mencabar nilai Islam dalam masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 25 yang memberi amaran bahawa pengabaian terhadap kemungkaran akan mengundang keburukan yang menimpa seluruh masyarakat, bukan terhad kepada pelaku semata-mata.

Dalam pada itu, DUPP menyeru agar kepimpinan agama negara memandu kefahaman umat dengan hikmah serta memastikan pembangunan negara berjalan selari dengan nilai dan maqasid syariah.

Dewan Ulamak PAS Pusat turut mencadangkan agar pendekatan tegas dan berprinsip seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dijadikan contoh, khususnya dalam membendung penganjuran program berunsur songsang melalui langkah kesedaran, pendidikan dan pencegahan menyeluruh.

“Memerangi kemungkaran bukan penghalang kemajuan, bahkan asas kepada keberkatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa mengabaikan kemungkaran atas nama progresif dan dinamik hanya akan membawa kepada kerosakan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Mempertahankan nilai bukan halangan kepada kemajuan. Sensitiviti agama adalah tanda kematangan masyarakat dan pembangunan sebenar hanya bermakna apabila kemajuan material seiring dengan keteguhan akhlak,” katanya.