1,000 Konvoi Motor Minggu AL-QUDS Sedunia

253
Konvoi ARC Teguh Pertahan

KUALA TERENGGANU – Lebih 1,000 buah motosikal dari seluruh negara’ akan menyertai konvoi sempena Minggu Al-Quds Sedunia, menjadi simbol kebangkitan solidariti umat Islam di Malaysia dalam menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dan pembebasan Masjid Al-Aqsa.

Pengarah Alternative Riding Club (ARC) Terengganu, Ahmad Sahrizan Yahya berkata, penganjuran konvoi tersebut bertujuan membangkitkan kesedaran ummah terhadap penderitaan berpanjangan yang dihadapi rakyat Palestin, khususnya di Gaza, Tebing Barat dan Al-Quds sejak konflik tercetus pada Oktober 2023.

Menurutnya, puluhan ribu rakyat Palestin terkorban dan cedera akibat serangan berterusan, manakala hampir dua juta penduduk terpaksa mengungsi selepas kehilangan tempat tinggal akibat peperangan dan sekatan yang dikenakan.

“Situasi kemanusiaan di Palestin amat membimbangkan apabila kekurangan makanan, air bersih dan bekalan perubatan menjadi ancaman harian.

“Lebih menyedihkan, wartawan tempatan turut menjadi mangsa ketika berusaha menyampaikan kebenaran kepada dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, Masjid Al-Aqsa sebagai tapak suci umat Islam terus berdepan tekanan, sekatan dan ancaman yang menjejaskan kebebasan beribadah.

Justeru, katanya, rakyat Palestin memerlukan sokongan berterusan umat Islam di seluruh dunia.

“Walaupun usaha ini kecil di mata dunia, kami berharap ia mampu memberi semangat besar kepada saudara-saudara kita di Palestin bahawa mereka tidak berjuang sendirian,” ujarnya.

Konvoi tersebut dijadualkan bermula selepas Solat Asar dengan pelepasan rasmi di Masjid Terapung, Kuala Ibai sebelum bergerak ke Masjid Rusila sebagai destinasi akhir solidariti dan amal.

Beliau menegaskan, konvoi itu bukan sekadar acara bermotor, sebaliknya satu panggilan jiwa untuk menegakkan keadilan, menghentikan penindasan serta menghidupkan semangat kesatuan ummah dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan kesucian Al-Quds.

“Al-Quds mesti kembali bebas, Masjid Al-Aqsa dilindungi dan Baitulmaqdis kembali aman di bawah keadilan,” katanya.

Justeru itu, seluruh umat Islam diseru agar bersatu dalam doa, kesedaran dan tindakan tanpa perpecahan.