KUALA TERENGGANU – Perpaduan ummah perlu diiringi dengan nilai toleransi dan kewaspadaan bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara, khususnya dalam suasana politik semasa yang semakin mencabar.
Naib Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat daj Bekas Wakil Rakyat (Khairunnisa) Terengganu Dr Farhaana Husainy Hasbullah berkata, penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu mempunyai signifikan besar dalam mengangkat nilai sejarah, ketamadunan dan adat Melayu yang berteraskan keamanan serta keharmonian antara kaum dan agama.
“Sifat toleransi kaum Melayu dan ajaran Islam yang menjamin keselamatan semua kaum serta agama menjadi kunci kepada kesejahteraan negara dan sejagat.
“Pun begitu, umat Islam khususnya orang Melayu harus sedar sifat toleransi perlu diiringi dengan waspada kerana akan ada pihak yang mengambil kesempatan,” jelasnya ketika dihubungi semalam.
Dalam masa sama, beliau menegaskan peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting dalam menjayakan agenda perpaduan ummah dengan terus konsisten menyokong serta terlibat aktif dalam program-program kemasyarakatan dan wacana ilmiah.
“NGO perlu konsisten memberi sokongan dan mengambil bahagian dalam program-program umum seperti.
“Penglibatan NGO juga perlu diambil perhatian dalam sesi persidangan dan sumbang saran untuk sama-sama berkongsi pandangan dan idea bagi mencapai agenda perpaduan ummah,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa impak program ini boleh dipertingkatkan sekiranya diperluaskan ke peringkat akar umbi, khususnya dalam usaha menyemarakkan semangat perpaduan serta memupuk kecintaan terhadap identiti Melayu Islam dalam kalangan masyarakat.
Mengulas harapannya, Dr Farhaana menekankan kepentingan menyebarkan ilmu dan kesedaran bahawa kekuatan umat Islam terletak pada kesatuan yang berteraskan pegangan kepada Allah dan Rasul SAW.
“Kunci kepada kesatuan ini ialah dengan kembali Allah dan Rasul SAW serta berpegang teguh kpd ajaran Islam,” tambahnya.





























