KUALA TERENGGANU – Anak muda pemacu utama dalam memperkukuhkan perpaduan ummah menerusi penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah & Himpunan Alam Melayu yang berlangsung baru-baru ini.
Pempengaruh Terengganu, YB Jai berkata, program tersebut bukan sekadar perhimpunan biasa, sebaliknya menjadi simbol penting penyatuan umat Islam khususnya di rantau Alam Melayu.
“Ijtimak berkenaan berjaya menghimpunkan masyarakat dalam satu semangat ukhuwah yang tinggi, sekali gus membuktikan bahawa kesedaran terhadap kepentingan perpaduan masih kukuh dalam jiwa rakyat.
“Ia menjadi platform penting untuk menyatukan hati, menguatkan ukhuwah serta membina kesedaran bahawa kekuatan sebenar ummah terletak pada perpaduan, bukan perpecahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran peserta yang ramai mencerminkan kehendak masyarakat yang menginginkan kestabilan, kesatuan dan masa depan yang lebih baik.
Dalam masa sama, program itu dilihat sebagai medan strategik untuk pertukaran pandangan, memperkukuhkan jati diri dan merangka hala tuju ummah yang lebih tersusun serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan suara anak muda kini semakin signifikan dalam mencorakkan masa depan ummah.
“Generasi muda hari ini bukan sahaja pewaris, tetapi pemacu perubahan yang membawa idea, tenaga dan harapan baharu kepada pembangunan ummah dan negara,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap semangat yang tercetus daripada himpunan tersebut tidak terhenti setakat program semata-mata, sebaliknya diterjemahkan dalam bentuk tindakan berterusan demi memperkukuhkan perpaduan ummah.





























