KUALA TERENGGANU – Usaha mengembalikan kekuatan umat perlu dilakukan melalui penyatuan berasaskan Islam, bukannya sekadar mengikut identiti bangsa dan kebangsaan semata-mata.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), To’ Puan Hajah Zarani Othman, berkata pendekatan ini penting bagi memastikan umat Melayu di seluruh dunia bersatu atas dasar akidah yang sama, memperkukuh perpaduan, dan menghidupkan semula semangat perjuangan Islam yang pernah menjadi tonggak kejayaan tamadun Melayu terdahulu.
“Program ini berjaya menghimpunkan seluruh kepimpinan dan masyarakat Melayu, tidak kira dari Sri Lanka, Thailand, Indonesia, Brunei, Malaysia, atau negeri-negeri lain. Kita berasa bangga kerana umat Melayu sebenarnya bertebaran di seluruh dunia,” jelasnya ketika ditemui pihak media selepas majlis Hari Raya Aidilfitri DMPNT, pada Selasa.


Beliau menegaskan bahawa kekuatan sebenar hanya dapat dicapai apabila umat disatukan atas dasar keimanan dan perjuangan Islam.
“Penyatuan ini bukan sekadar pada nama atau bangsa, tetapi mesti berteraskan akidah dan perjuangan Islam yang mampu mengangkat martabat umat,” tambahnya.
Zarani turut menyeru generasi muda dan wanita Islam memainkan peranan penting sebagai penggerak kepada usaha penyatuan ini, menjadikan sejarah kegemilangan umat sebagai panduan membina masa depan yang lebih kukuh.
“Saya menyeru semua wanita Melayu dan wanita Islam untuk bersama-sama menyatukan umat Islam, insya-Allah dan memperkukuh perpaduan berasaskan Islam.


“Dengan penyatuan ini, negara dan dunia akan menjadi lebih makmur dan harmoni, bebas daripada penindasan atau tekanan, serta tidak menjadi alat agenda kuasa luar,” katanya.
Tambah beliau, ijtimak yang diadakan tidak seharusnya berakhir sebagai satu perhimpunan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada gerakan berterusan dalam memperkukuh kesatuan ummah di peringkat global.
“Dengan penyatuan yang kukuh, umat Islam mampu membina masyarakat harmoni dan bebas daripada pengaruh luar yang menggugat,” tambahnya.


























