Golongan Muda Pemacu Kebangkitan Umat

146
Ribuan pemuda membanjiri dataran Batu Buruk, menyertai konvoi motosikal sempena Ijtimak

KUALA TERENGGANU – Peranan generasi muda sebagai pemacu kebangkitan ummah menjadi antara fokus utama dalam Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 & Himpunan Alam Melayu 2026.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hamdi Harun berkata, himpunan berskala besar itu bukan sekadar platform pertemuan umat Islam, sebaliknya menjadi medan strategik membina jaringan anak muda rentas negara dalam memperkukuh kesatuan ummah.

“Penglibatan anak muda dalam himpunan ini amat memberangsangkan.

“Ia mencerminkan kesedaran mereka terhadap tanggungjawab sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, ijtimak tersebut membuktikan golongan muda bukan lagi sekadar pemerhati, tetapi telah bersedia menjadi penggerak kepada agenda perpaduan ummah di peringkat serantau dan antarabangsa.

Katanya, penyertaan anak muda dalam pelbagai pengisian seperti pidato, karnival budaya, konvoi dan program kesenian bukan sahaja menghidupkan suasana, malah memperkukuh identiti serta jati diri Islam dalam kalangan generasi baharu.

Mohd Hamdi Harun (kanan)

Dalam masa sama, beliau menegaskan cabaran dunia Islam seperti perpecahan, krisis nilai dan pengaruh ideologi asing menuntut kesatuan yang lebih kukuh dalam kalangan umat.

“Ijtimak ini mengingatkan kita bahawa kekuatan ummah terbina melalui kesatuan hati, disiplin dan kesungguhan mempertahankan agama,” ujarnya.

Tambahnya, program tersebut turut mengangkat keindahan warisan Alam Melayu melalui busana, budaya dan nilai yang sarat dengan adab dan maruah, sekali gus menjadi pendekatan berkesan dalam membina jati diri generasi muda.

“Ia bukan sekadar perhimpunan biasa, tetapi satu gelombang kebangkitan yang perlu disertai, bukan hanya disaksikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat khususnya golongan muda agar tampil memainkan peranan aktif dalam memperkukuh perpaduan dan membina masa depan ummah yang lebih gemilang.