Pengorbanan Petugas Jihad Media

1663

Aktivis media adalah antara simbol petugas parti yang ikhlas berjuang. Saya bertuah untuk berada di medan jihad media bersama-sama mereka. Keikhlasan saya berjuang masih boleh dipertikaikan. Sekurang-kurangnya kita sebagai pimpinan ada keluar gambar dan berita dalam media sebaliknya aktivis media bekerja untuk memaparkan gambar orang lain sementara mereka sendiri tak dikenali umum.

Pimpinan hadir ke program ada disediakan juadah dan hidangan, dalam masa yang sama selalunya penganjur terlupa nak tanya samada petugas media dah makan atau belum.

Penganjur selalunya meletakkan dalam perkiraan sedikit bajet duit minyak untuk pimpinan sedangkan orang media juga datang dengan kenderaan yang perlu diisi minyak. Berapa ramai orang yang teringat nak tanya hal minyak kereta petugas media?

Petugas media parti adalah sahabat seperjuangan kita. Mereka juga ada komitmen dan tanggungjawab. Mereka juga ada keluarga dan anak-anak.

Memimpin Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bersama sekumpulan petugas media parti yang komited, saya menyelami suka duka ini bersama. Sungguh ia suatu tugas yang memerlukan pengorbanan yang besar.

Kita keluar terjah ke suatu lokasi insiden peristiwa yang jauh demi untuk mendapatkan ‘first hand info’ yang mempunyai integriti tinggi bagi tatapan pembaca. Beberapa perenggan berita yang dibaca di hujung jari pembaca sebenarnya memerlukan ketekunan sehari suntuk dengan segala senjata media dibawa ke medan.

Anda bangun pagi dan melihat ada paparan berita baru yang di ‘upload’ di laman berita Harakahdaily atau Buletin Online. Tak pernahkan terlintas di benak kita untuk tanya, bila editor buat kerja untuk upload berita tersebut sedangkan sebelum tidur malam tadi, berita itu belum ada. Tapi bila bangun tidur awal pagi, beritanya dah ada. Tentunya mereka bekerja ketika anda semua sedang lena dibuai mimpi.

Tahukah anda bahawa staf bahagian editor dan kewartawanan Harakah berjaga malam dan tidur di bawah meja di pejabat semata-mata untuk menyiapkan deadline agar layout akhbar Harakah dapat dihantar kepada pencetak tepat pada masanya. Menitis air mata saya bila singgah di Pejabat Harakah waktu pagi melihat staf yang keletihan berbaring tidur di bawah meja setelah semalaman suntuk berjaga menyiapkan tugasan.

Memang diakui media parti ada banyak kekurangan. Di Terengganu, Buletin Online mendapat sumber berita dan bahan dari petugas media sukarela tak bergaji yang berkhidmat membawa paparan berita dan peristiwa dari segenap pelusuk negeri. Mereka inilah mujahid media dalam KAMI yang bertugas dengan mengharapkan gaji pahala dari Allah.

Staf Harakah yang bertugas, kadar beban kerja yang mereka pikul jangan diukur sama sekali dengan imbuhan gaji yang mereka terima. Tapi mereka terus berkorban dan berkorban demi mempertahankan suatu sempadan penting di medan jihad ini. Insan berjiwa media akan memahami isi hati petugas media. Harakah adalah maruah parti kita dan sahabat-sahabat kita murobitun parti di Harakah terus komited untuk mempertahankan maruah ini.

Sebahagian besar wartawan dan editor Harakah bagaikan adik-beradik saya. Susah mereka juga kesusahan saya. Mehnah dan tribulasi yang mereka lalui membuatkan air mata saya mengalir. Sekalung penghargaan buat mereka semua. Mereka yang di luar hanya tahu mengeji dan membuat persepsi. Cubalah sesekali menilai dengan isi hati.

Harapan mereka agar Harakah dibaca oleh ahli parti sekurang-kurangnya. Bukan mereka minta apa-apa pun. Kalau bukan kita sebagai ahli parti yang baca, siapa lagi? Bukan susah untuk kita melaksanakan tugasan 3B berbanding dengan kesukaran yang dilalui oleh sahabat kita yang bekerja untuk menerbitkan Harakah. 3B iaitu beli, baca dan beri.

Jangan bandingkan kelengkapan media kita dengan media lawan kita khususnya media kerajaan.

Kita bukan lagi berada dizaman buat demonstrasi bakar surat khabar lawan politik. Dalam teori perang media, nak melawan media musuh, kita mesti terjun ke medan yang sama dengan mereka. Sarjana media ada menyebut, kerajaan tak akan dapat menjatuhkan media, tapi media dapat meruntuhkan sebuah kerajaan.

Kalau kita buat survey secara rawak, apakah amalan yang pertama dilakukan apabila bangun tidur, majoriti akan jawab, buka whatsapp dan fb untuk tengok berita dan perkembangan terbaru.

Cabaran aktivis media menjadi lebih hebat dizaman ini apabila kecanggihan teknologi komunikasi dan IT mendominasi industri media. Berita boleh tersebar dalam jangka masa milisecond. Sebarannya pula ke seluruh pelusuk alam. Berita waktu pagi sudah jadi basi waktu tengah hari, diwaktu petangnya sudah dikira berkulat dan tak laku lagi. Suatu ketika dulu, surat khabar seminggu lepas pun masih dibaca.

Cabaran ini menjadi lebih kompleks bila akses berita hujung jari lebih menjadi pilihan berbanding media cetak. Rata-rata malah keseluruhan penerbit akhbar merungut tentang penurunan kadar jualan akhbar terbitan mereka termasuklah akhbar Harakah.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI).
AJK PAS Pusat