Penerbangan hibrid di Malaysia, Malindo Air mengantungkan penerbangan sementara dari Kuala Lumpur ke Miri menyebabkan ramai penduduk di Miri agak terkejut kerana ianya berlaku tanpa pengetahuan mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan penerbangan tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy dalam akhbar tempatan berkata “Kami hanya melakukan penjadualan sementara dan penstrukturan semula perkhidmatan kami. Kami tidak menggantung laluan selama-lamanya tetapi hanya (sementara) mulai 1 Nov – 15. Mudah-mudahan menjelang 15 Nov, kita boleh meneruskan perkhidmatan kami ke Miri,”
Walaupun Chandran memberi jaminan penerbangan ke Miri akan disambung semula, orang ramai juga masih ragu dengan kenyataan tersebut kerena mereka tidak pasti sama ada mereka boleh meneruskan tempahan dalam talian atau terpaksa membatal niat menggunakan perkhidmatan penerbangan Malindo Air sebab mereka takut hilang wang tempahan sekiranya berlaku sebaliknya.
Pihak pengurusan Malindo Air juga perlu memikirkan akan nasib pekerjanya di Miri kerana mereka juga tidak pasti apa akan berlaku selepas bulan November nanti sekiranya pihak pengurusan terus menamatkan penerbangan Malindo Air ke Miri.
Kita ingin memberi cadangan kepada pihak pengurusan Malindo Air untuk dipertimbangkan sekiranya mereka ingin meneruskan serta mengembangkan perkhidmatan mereka ke Miri sebab Miri merupakan Bandaraya Peranginan di bahagian utara Sarawak. Miri merupakan bandar kedua terbesar di Sarawak, dengan jumlah penduduknya lebih daripada 350,000 orang. Kemajuan bandar ini adalah ianya sebuah daerah yang kaya dengan sumber asli, terutamanya petroleum dan sepatutnya lapangan terbang Miri di naik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Pihak Kementerian Pelancongan Sarawak juga perlu memberi kebenaran kepada pihak penerbangan Malindo Air dan lain-lain penerbangan dari Miri ke luar negara untuk menarik lebih ramai pelancong melawat ke Sarawak. Sebagai contoh pihak penerbangan boleh terus terbang ke luar negara seperti ke Australia dan transit ke Surabaya Indonesia 2 kali seminggu atau lebih mengikut keperluan orang ramai. Ini pasti akan menarik lebih ramai pelancong datang ke Miri Sarawak. Bukan saja menarik pelancong ke Sarawak tetapi ianya memberi kemudahan kepada mereka yang bekerja di Sarawak untuk berulang alik ke destinasi masing-masing.
Kita mengesa pihak pengurusan Malindo Air agar dapat mempertimbangkan hasrat penduduk Sarawak, khususnya Miri agar terus memberi perkhidmatan penerbangan tambang murah ke seluruh destinasi baik dalam dan luar negara. Dengan adanya pesaingan yang sihat di antara Malindo Air dan sektor perkhidmatan penerbangan lain sudah pasti ianya memberi kemudahan kepada pengguna untuk memilih penerbangan yang murah serta memberi perkhidmatan terbaik untuk mereka. Lebih banyak syarikat penerbangan lebih banyak pilihan untuk pengguna memilih yang terbaik untuk mereka.
***** Artikel adalah tulisan Jofri Jaraiee, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Sarawak






























