Oleh : KAM
KUALA TERENGGANU – Penduduk di Kampung Kubang Buyong, Chabang Tiga, Kuala Terengganu bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka kerana pagar penghadang parit yang rosak tidak diperbaiki.
Parit besar yang asalnya adalah anak Sungai Nilam dibawah seliaan Jabatan Peparitan dan Saliran (JPS) di sepanjang jalan Kubang Buyong mengundang ‘petaka’.
Penduduk mengadu, mereka risau, terutamanya apabila masuk musim tengkujuh kerana air hujan akan memenuhi ‘longkang’ besar itu.
Seorang seorang daripada mereka, Haji Mansor Ismail, 70, mendakwa pagar kerosakan pagar pengadang parit itu berlaku sejak dua tahun lalu.


“Kami (penduduk) tidak mahu melihat setelah berlaku kemalangan jiwa baharu pihak berkuasa tergesa-gesa memperbaikinya.
“Kami mahu pihak yang bertanggungjawab sama ada JPS atau Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) data mengambil tindakan proaktif dengan aduan ini,” ujarnya ketika ditemui di lokasi tersebut.
Menurutnya, isu mengenai pagar pengadang itu telah beberapa kali dilaporkan oleh media arus perdana tetapi masih tiada tindakan.
Rakannya, Syed Mustaffa Tuan Pengeran, 60, merayu pihak berkuasa tempatan segera mengambil langkah memperbaiki dengan segera.
Ini kerana, katanya pernah berlaku kemalangan kecil ada pengguna yang terjatuh tetapi bernasib baik kerana air cetek.
“Ketika musim hujan (tengkujuh) setiap tiap tahun air akan memenuhi parit besar ini kerana asalnya anak Sungai Nilam sebelum dijadikan sebuah parit yang besar.

“Bayangkan jika air memenuhi parit itu dan tidak ada pagar pengadang, sudah tentu membahayakan keselamatan kanak-kanak dan pelajar sekolah,” jelasnya di lokasi tersebut.
Beliau mengandaikan jika berlakunya kemalangan jiwa atau pilihan raya dalam masa terdekat ini sudah pasti masalah itu akan disegerakan pihak kerajaan negeri.
Kawasan itu terletak di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar yang diwakili oleh Parti KeaDILan Rakyat (PKR), Azan Ismail setelah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Toh Chin Yaw pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, lalu.



























