Pemuda PAS Sahut Cabaran ISMA

1105
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/poster%20presiden%20pas.jpg

Dalam tulisan yang disiarkan di Harakahdaily http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/18369-surat-terbuka-kepada-qkhadam-politikq, Tuan Guru Presiden menulis dalam nota ke-13, di bawah sub-tajuk “Kemunculan Khadam – untuk selamatkan UMNO”

“UMNO yang sangat gelabah dengan perkembangan mutakhir, mereka mula secara tidak langsung sedang menggunakan khadam daripada NGO yang berjenama Islam seperti ISMA dan lain-lain, bertanding di atas nama Islam, dengan tujuan untuk menarik undi Melayu Islam di kawasan bukan Islam. Tindakan pendek politik ini hanya berjaya untuk memenangkan MCA, MIC, Gerakan atau UMNO yang sedang bergelumang dengan kemungkarannya”

Maka sekonyong-konyong Aminudin selaku Timbalan Presiden ISMA mencabar di blog peribadinya http://suaradarigunung.wordpress.com/ menulis

“Kepada si penulis artikel ini, saya cabar untuk saudara buktikan memang benar dakwaan saudara tersebut. Jika saudara mengamalkan etika Islam dan berjuang ikhlas kerana Allah, ayuh kemukakan bukti bahawa memang ISMA adalah khadam UMNO. Jika tidak, saudara bertanggungjawab dihadapan Allah memfitnah sesama umat Islam dan saya akan tuntut di akhirat nanti”

Nampak marah benar dia kepada si penulis artikel yang didakwanya bukan tulisan Tuan Guru Presiden.

Walhal, itu sememangnya tulisan asli Tuan Guru Presiden. Jika disoroti tulisan beliau, Tuan Guru menulis “secara tidak langsung sedang menggunakan khadam” untuk merujuk kewujudan ISMA memang dialu-alukan Umno.

Tuan Guru langsung tidak menuduh bahawa ISMA adalah khadam Umno! Tuan Guru hanya menyatakan bahawa tindakan ISMA menyertai politik menguntungkan Umno dan BN yang sedang berada di ambang kejatuhan dan SECARA TIDAK LANGSUNG sebenarnya kerja-kerja Umno semakin mudah dengan kewujudan ISMA di arena politik negara.

Sekurang-kurangnya di tempat-tempat yang ditandingi oleh ISMA, petugas-petugas Umno tidak perlu lagi bertungkus-lumus untuk berkempen agar tidak mengundi PR kerana ia sudah dilakukan oleh ISMA.

Malah, ISMA juga menjadi penyambung lidah Utusan Malaysia dengan menyebarkan artikel fitnah bertajuk “DAP dan PAP: sejarah bakal berulang?”

Kewujudan ISMA hampir sama dengan kewujudan PERKASA. Kedua-dua NGO ini wujud menguntungkan Umno/BN.

Berikut kami senaraikan beberapa persamaan antara ISMA dan PERKASA yang kewujudannya menguntungkan Umno dan secara tidak langsung menjadi khadam Umno:

1. Kewujudan kedua-dua NGO ini tidak memberi sebarang kudis kepada Umno. Malah ketika ISMA mengisytiharkan diri mereka untuk menyertai politik langsung tidak diselar oleh Umno malah diberi tempat beberapa kenyataan politik ISMA didalam portal proksi Umno.

2. Kedua-dua ISMA dan PERKASA mereka menyeru kepada perpaduan Melayu yang menggesa PAS berpakat dengan Umno dan ia juga senada dengan Umno kerana mereka tahu apabila PAS meninggalkan PR, maka BN akan semakin kuat dan PR semakin lemah. Ini juga selari dengan kehendak Umno sejak tsunami politik 2008.

3. Kedua-dua ISMA dan PERKASA secara konsisten menyelar dan menuduh DAP sebagai cauvanis, perkauman dan menganggap apabila PR memerintah kelak bakal meruntuhkan institusi Islam di Malaysia. Ini sama dengan propaganda Umno untuk menjauhkan rakyat Malaysia daripada DAP dan sekaligus PR.

4. Bagi menampakkan neutral di mata masyarakat, kedua-dua ISMA dan PERKASA sekali-sekala akan mengkritik MCA. Ia sebenarnya adalah lakonan sampingan mereka agar rakyat nampak mereka neutral dan tidak dipengaruhi oleh Umno/BN.

5. Kedua-dua ISMA dan PERKASA secara konsisten mengkritik dan menyerang PAS dengan menuduh PAS sudah lari dari prinsip perjuangan asal. Ini bertujuan untuk menjauhkan umat Islam daripada PAS dan ia senada dengan propaganda Umno. Sama juga dalam isu Amanat Haji Hadi, ISMA senada dengan Umno.

6. Bagi menampakkan keneutralan mereka, sesekali ISMA dan PERKASA akan mengkritik Umno supaya rakyat melihat mereka adil dalam mengkritik. Namun, semua kritikan hanyalah bersifat tentang polisi umum negara dan langsung tidak mengkritik Umno dalam isu aqidah umat Islam, murtad, gejala sosial, arak, judi yang semunya di bawah penguasaan kerajaan Umno/BN.

7. Kedua-duanya secara konsisten akan menyerang PR dan menuduh bahawa sekiranya PR memerintah negara, Islam di Malaysia akan tergadai dan ini sekali lagi menguntungkan Umno/BN dan secara tidak langsung menjadi penyambung lidah dan khadam Umno.

Kami masih menantikan tulisan Tuan Timbalan Presiden ISMA ini untuk dimuatkan ke dalam medium-medium rasmi mereka. Ketika artikel ini ditulis, ia masih lagi belum dilakukan.

Tidak kira sama ada ia adalah pendirian rasmi ISMA atau tidak, ia merupakan kenyataan daripada Timbalan Presiden ISMA merangkap Ketua Biro Politik ISMA.

Oh ya, sekarang beliau dan ISMA sedang “terumbang-ambing” sama ada akan menghantar calon untuk bertanding di Parlimen Wangsa Maju kerana Umno telah mengisytiharkan mereka akan menghantar calonnya di situ mewakili BN dan sekaligus menolak MCA yang secara tradisinya menghantar calon di situ.

Ini mungkin strategi Umno bagi menggunakan modal ISMA “Pilih Calon Muslim Berwibawa” dan kebetulan pula calon yang ISMA isytiharkan adalah calon no 1 mereka iaitu penulis artikel “Saya Cabar” ini.

Kami katakan ia calon no 1 kerana jawatannya sebagai Timbalan Presiden ISMA merangkap Ketua Biro Politik ISMA dan dalam masa sama, Presiden ISMA Sdra Abdullah Zaik tidak bertanding di mana-mana kerusi. Jadi sekaligus, Sdra Aminuddin Yahaya ini menjadi calon pilihan no 1 ISMA untuk dihantar ke Parlimen.

Saya yakin, walaupun seruan mereka “Pilih Calon Berwibawa”, mereka tidak akan berani melawan Umno yang memang parti yang korup dan langsung tidak berwibawa. Mungkin mereka akan mencaturkan untuk memindahkan Timbalan Presiden mereka ke kerusi lain.

Kita nantikan episod politik mereka seterusnya. Hampir pasti mereka tidak akan bertanding di Wangsa Maju dengan alasan sudah ada calon Melayu Muslim berwibawa a.k.a Umno bertanding.

Jadi, kami pula mencabar ISMA untuk bertanding melawan Umno di Wangsa Maju. Malah lebih baik, ISMA menghantar calon-calonnya untuk melawan tokoh-tokoh Umno yang sudah terbukti korup seperti Ali Rustam dan Isa Samad – yang kedua-duanya disabitkan rasuah oleh Lembaga Disiplin Umno sendiri.

Oh ya, ada orang bertanya mengapa Pemuda PAS Gombak konsisten menyerang ISMA walhal ISMA tidak bertanding pun di Gombak. Respon kami mudah, ISMA sudah menjadi seolah-olah khadam politik Umno secara tidak sedar sebagaimana diakui oleh Tuan Guru Presiden. Tambahan pula, dua “jiran” kami bakal tempat ISMA bertanding iaitu Selayang dan Wangsa Maju. Jadi, apa salahnya kami menolong jiran-jiran kami mendedahkan watak sebenar ISMA, bukan?

Disediakan oleh,
RIDHUAN HUSIN,
Pegawai Media Dewan Pemuda PAS Gombak