Beberapa Jalan Ditutup Pada Hari Penamaan Calon – Polis Kuala Terengganu

1087
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/ZamriKPKTrg.jpg

“Di Kuala Terengganu akan menempatkan dua pusat penamaan calon iaitu bagi Parlimen Kuala Nerus di Majlis Sukan Negeri, Gong Badak dan Parlimen Kuala Terengganu di Stadium negeri,” kata Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Samsuddin [Gambar]

Katanya jalan menuju ke Stadium Negeri yang akan ditutup bermula dari persimpangan lampu isyarat Batu Buruk ke Jalan Sultan Mahmud sehingga ke Bulatan Batu Bersurat manakala laluan ke Majlis Sukan Negeri yang akan ditutup bermula dari persimpangan lampu isyarat Lapangan Terbang Sultan Mahmud sehingga ke Jalan Semarak.

Bernama melaporkan, Zamri berkata penyokong parti-parti yang bertanding hanya dibenarkan berarak dan berhimpun di tempat yang disediakan dalam jarak 50 meter dari pusat penamaan calon.

Katanya sepanjang proses pilihan raya umum ke-13 ini, polis akan membuka enam pos kawalan iaitu di Kuala Ibai, Losong, Bandar, Seberang Takir, Batu Rakit dan Batu enam yang akan mula beroperasi selepas penamaan calon.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata 4,000 anggota polis dengan bantuan 12 agensi kerajaan telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 di lapan kawasan Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Katanya beliau telah mengarahkan semua ketua polis daerah mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil parti yang bertanding untuk membincangkan segala perancangan semasa penamaan calon, kempen dan semasa pengundian.

“Polis akan memberi penerangan tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang PRU13…semua pihak yang terlibat haruslah mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kami.

“Penyokong tidak dibenarkan membawa senjata seperti parang, pisau dan sekiranya ada pihak yang didapati melanggar peraturan tersebut dia akan didakwa serta merta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Terengganu.

Jamshah berkata seramai 2,079 anggota polis akan ditugaskan semasa penamaan calon.