Pasti Lancar Kurikulum Pra-TahfiZ dan Pengajian Nurul-Quran

4502

KUALA TERENGGANU [Lihat Video]- Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) negeri Terengganu dijangka menerima kemasukan pelajar baru yang lebih ramai pada tahun hadapan, berbanding sesi lalu.

Untuk sesi pengajian tahun 2014 akan datang juga, Pasti akan memperkenalkan kurikulum baru dan kelas khas Pra-Tahfiz.

“kita menjangkakan berlaku perubahan bilangan pelajar sebagaimana kita melihat sokongan dan dokongan daripada masyrakat yang berterusan untuk bersama-sama menghantar anak mereka ke Pasti.

“Dan dalam masa yang sama, untuk sesi pengajian 2014, kita memperkenalkan kurikulum terbaru, yang membantu (anak dan) ibu bapa untuk menguasai pendidikan Islam,”kata Pengarah Pasti negeri Terengganu, Ustaz Sulaiman Sulong.

Katanya, pada sesi lalu Pasti telah memperkenalkan kurikulum baru untuk pelajar berumur 4, 5 dan 6 tahun denan jayanya.

Oleh itu, kata beliau,bermula tahun hadapan kurikulum yang khusus untuk Pra-Tahfiz akan diperkenalkan dan terbuka untuk mana-mana pelajar yang mendaftar di Pasti.

“ia terbuka kepada mana-mana pelajar, ibu bapa yang berminat untuk anak mereka mendapatkan pendidikan Pasti, Pra-Tahfiz peringkat awal pada anak-anak mereka.

“Disamping itu kita juga memperkenalkan jugak satu kurikulum baru, pembelajaran al-Quran yang kita namakan Nurul-Quran yang diperkenalkan sejak 2012 dan pelaksanaan menyeluruh ke PASTI-PASTI di negeri Terengganu dan negeri lain,”jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas merasmikan Majlis Ihtifal dan Sambutan Jubli Perak Pasti al-Fatonah, Bukit Besar dekat sini pada Sabtu 16 November

Beliau berharap dengan perlaksanaan kurikulum baru dapat meningkatkan minat ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke Pasti, selaras dengan visi pendidikan Pra-Sekolah anjuran PAS itu, yang berhasrat menjadikan Pasti sebagai matlamat utama atau pilihan utama pendidikan Pra-Sekolah di Malaysia .