PASTI Aset Dekatkan Golongan ‘Cilik’ Cintakan Islam

2359

Oleh: Ahmad Syahid Adnan

KEMAMAN – Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) merupakan satu aset PAS yang telah berjaya menarik golongan cilik dan ibu bapa mereka untuk mendekati diri dan mencintai Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata masyarakat melihat kesungguhan guru-guru serta program yang dikendalikan PASTI bersesuaian dengan kanak-kanak.

“Walaupun mereka orang UMNO, mereka akan hantar juga anak-anak mereka ke sini.” ujar beliau.

Saiful Azmi berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan penutup Tamrin Majlis Guru PASTI Kawasan Kemaman yang berlangsung selama dua hari di Air Terjun Menderu, Kampung Chabang di sini pada 5 Oktober.

Beliau juga turut menegaskan bahawa dengan kemenangan yang diperoleh di negeri Terengganu dan Kelantan, tenaga pengajar juga perlu meningkatkan pencapaian keseluruhan kerja dalam mencapai indeks prestasi utama yang ditetapkan.

“Janganlah selepas kita memerintah di negeri Terengganu kita ini, kualiti serta ‘performance’ kita menjadi semakin kurang, dan PASTI merupakan satu aset yang kena fikirkan prasarana untuk kita pertingkatkan.”

“Program-program yang dianjurkan kena hadir, rekod, dan di peringkat pengurusan, kena perkasakan. Cara ini perlu kita buat supaya kalaulah pencapaian kerja kita rendah, kita perlu buat sesuatu untuk tingkatkan ‘performance.’

“Saya yakin dan percaya, kita semua dapat memberi khidmat yang terbaik kepada pelajar-pelajar supaya dapat menjadi pewaris kita yang perjuangkan Islam di negeri Terengganu tercinta,” tambahnya.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Chabang, Amri Mamat serta Timbalan Pengerusi PASTI Kawasan Kemaman, Hajah Rohasni Husin.