PAS Terengganu Tambah Lima Lagi Manifesto Awal PRU14

10898

KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Husain Awang telah mengisytiharkan lima lagi Manifesto Awal pilihan raya umum kali ke-14 (PRU14) menjadikan semuanya 20 perkara, yang didedahkan kepada umum.

Katanya, tawaran tersebut adalah perkara yang menyentuh perasaan dan kehidupan rakyat yang akan dilaksanakan apabila PAS diberikan kepercayaan menjadi kerajaan selepas pilihan raya akan datang.

”Kita telah menggubal satu Manifesto yang akan diagihkan kepada umum dalam masa terdekat,

”daripada Manifesto (yang telah dibuat) kita sedut 15 perkara dan dapada malam ini kita tambah lima perkara menjadikan semuanya 20 perkara tawaran segera,” katanya.

Tegasnya, rakyat telah menunjukkan isyarat yang dapat dilihat pada diri masing-masing bahawa sudah sampai masanya, Terengganu perlukan satu perubahan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Perdana sempena Himpunan Harapan Semua PAS Ganti Umno Kali Kelapan (HARAP-PGU 3.8) di Kuala Ibai, pada Jumaat malam, 23 Mac.

Manifesto yang dipaparkan melalui tayangan video tersebut adalah seperti berikut;
1.Menambah Sekolah Menengah Agama Setiap Parlimen Dan Sekolah Rendah Agama Setiap DUN Serta Memberi Geran Tahunan Kepada Sekolah Agama Rakyat Dan Pondok
2. Mengecualikan Cukai Pintu Rumah Kediaman
3. Mengurniakan Pencen Rakyat RM50.00 Sebulan Bagi Warga Emas Yang Layak.
4. Menambah Keluasan Tanah Rizab Melayu Daripada 118 hektar Kepada 1,000 hektar.
5. Mengadakan Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang Sebanyak RM5 Juta Setahun Untuk Anak Terengganu Melanjutkan Pengajian Di Peringkat Ijazah Pertama

Ahli Majlis Syura Ulama PAS Pusat itu berkata, rakyat yakin bahawa hanya PAS sahaja parti politik yang tidak ada masalah dalam negara ini.

”Umno dan BN sehingga kini tidak boleh mengadakan mesyuarat agungnya kerana bimbang kepimpinan yang ada akan jatuh,

”parti yang memerintah (itu) juga menghadapi pelbagai masalah, 1MDB….GST dan bermacam-macam penindasan terhadap rakyat,” jelasnya.

Manakala parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan, katanya, sedang berebut kerusi dan kedudukan masing-masing sehinggakan belum memerintah sudah berbalah tentang siapa yang akan menjadi Perdana Menteri