PAS Seru Masyarakat Bekerjasama Banteras Jenayah

1491

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Masyarakat diseru untuk sentiasa bekerjasama dengan polis untuk membenteras jenayah tanpa mengira samada lelaki ataupun wanita.

Ketua Penerangan PAS Dungun YB Cikgu Alias Harun berkata, tanggungjawab orang ramai bukan sahaja untuk melaporkan ‘perbuatan mungkar’ bahkan memberi peringatan melakukan kebaikan sesama jiran tetangga.

“Tujuan program ini sebenarnya adalah untuk mendedahkan kepada wanita supaya mengambil cakna yang lebih kepada masyarakat lebih-lebih lagi kepada isi rumah kita sendiri,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Cakna Wanita 1.0 yang diadakan di Dewan Sivik Batu 48, di sini semalam, 24 Januari.

Turut hadir dan menjadi panel forum dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Imna (UPDI) Haji Sazali Mohd Noor dan Pegawai Penyiasat Jenayah Komersil Polis Dungun Inspektor Nurul Amynah Ismail.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan negeri sedang melakukan usaha bersungguh-sungguh mencegah penyalahgunaan dadah.

“Sekarang kerajaan negeri memerangi pil kuda, . tapi tanpa kerjasama daripada masyarakat terutama sekali memaklum, memberitahu.

“Kalau tiada kerjasama ini sampai bila kita tidak dapat kesan siapa pengedar… anak-anak lagi telah didedahkan dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan remaja-remaja zaman kini,” jelasnya.