PAS Parti Terbuka Bukan Jumud

1339

Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU – Parti Islam Semalaysia (PAS) ialah parti politik yang terbuka bukan bersifat jumud seperti yang dilihat sesetengah masyarakat pada hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad berkata, PAS ianya merupakan parti umum selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

“Ramai yang tidak percaya seorang pimpinan PAS bercakap dalam bidang profesional seperti pembangunan dan kemajuan negara.

“(Dan) apabila kita bercakap tentang pembangunan, membina negara yang maju, dalam konteks yang masuk ke akal fikiran mereka kagum dan ada yang terus minta borang keahlian PAS dengan saya.

“(Ini) kerana selama ini fikiran mereka telah diracun bahawa pimpinan PAS ini bersifat jumud dan kolot,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Pas Cawangan Dusun Melintang semalam, 22 Januari.

Selain itu menurutnya, untuk membawa parti PAS bukan hanya sekadar bercakap sahaja tetapi harus menambahbaikan dan memantapkan organisasi serta perbanyakkan program masyarakat.

Justeru itu, beliau juga menekankan tentang keadilan tanpa mengira agama,bangsa dan latar belakang politik.

“Bila kita menjadi pemimpin kepada negeri, bermakna kita menjadi pemimpin kepada semua.

“Tidak kira Islam atau bukan Islam, lelaki atau wanita, kanak-kanak atau dewasa, kaya atau miskin, semua rakyat kita. tidak kira Umno, DAP ataupun PAS, tunjukkan keindahan keadilan Islam,” ujarnya.

Majlis tersebut dihadiri oleh Ketua Pas Cawangan Dusun Melintang, Mohd Azlan dan beberapa orang Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pas Cawangan Dusun Melintang serta 50 orang peserta.