PAS Pandang Serius Dakwaan Rasuah di JHEAT

1450

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu memandang serius perkembangan yang tidak sihat iaitu, rasuah yang didakwa berlaku dikalangan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

Ketua Penerangannya YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ia bukan setakat dakwaan biasa, malah kertas siasatan dan penahanan beberapa orang kakitangan JHEAT telahpun dilakukan bagi membantu siasatan dan ada juga yang telah dihadapkan ke mahkamah.

“Ada dua kes yang besar yang ingin PAS Terengganu berikan perhatian, iaitu kes penyelewengan pembekalan pemasangan karpet di beberapa masjid dan surau di negeri ini yang melibatkan tuntutan sebanyak lebih RM1 juta,

“serta kes pemalsuan surat dan kad nikah. Atas hal ini, beberapa individu telah dibawa ke mahkamah bagi sebutan kes,”ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, PAS Terengganu memandang serius perkara yang berlaku kerana ianya boleh membawa kepada runtuhnya kepercayaan rakyat terhadap agama Islam.

mOHD nOR hAMZAH“apabila pihak yang dipercayai menjaga agama Islam, menyeleweng dari landasannya kerana terpedaya dengan wang,

“PAS Terengganu berharap agar akan ada pihak yang akan dipertanggungjawabkan dalam kes kehilangan wang rakyat Terengganu ini,”tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diatas kejayaan itu, dengan harapan ia menjadi peringatan bagi yang masih mahu melakukakannya.

“Walau bagaimanapun PAS Terengganu menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan SPRM dan mahkamah dalam menentukan keputusan terbaik berkaitan isu penyelewengan JHEAT ini,”tambah beliau.

Justeru beliau berharap ‘lumpur yang terpalit’ kepada JHEAT akibat perbuatan mereka yang ‘hina’ itu dapat diselesaikan segera, agar nama baik Islam terpelihara.

“PAS Terengganu tidak dapat menyembunyikan rasa kebimbangan yang teramat sekiranya agama Islam yang suci dan mulia serta tinggi ini, turut terpalit oleh kekotoran lumpur yang dibawa oleh golongan lain yang kononnya dikatakan sebagai pihak yang melindungi Islam,

“tetapi sebaliknya mereka sebenarnya sebagai pihak yang mengotori Islam itu. Apalagi jika ianya dijadikan sebagai modal oleh golongan pembenci Islam bagi menambahkan lagi nilai kebencian mereka,”ujar beliau lagi.