Membunuh Diri Kerana Kecewa Adalah Salah

1409

Oleh : Dr Khairuddin Aman Razali

Membunuh diri kerana kecewa adalah perbuatan yang salah bahkan satu jenayah. Tidak perlu ada mana-mana pihak cuba menghalalkannya atas alasan menentang kezaliman atau menjadikannya wira dan ikon menentang kezaliman.
Kita tidak mempunyai hak untuk mengambil nyawa sendiri.

Menentang kezaliman adalah dengan berjuang mengikut kadar masing-masing mengikut lunas-lunas agama dengan hati, lidah dan tenaga serta kuasa. Jika ditakdirkan mati kerana menentang kezaliman dan mempertahankan kehormatan diri, matinya adalah mati syahid.

Ada pun mengambil nyawa sendiri sebagai manifestasi menentang kezaliman JIKA BERLAKU adalah tindakan yang salah samaada salah pada norma kehidupan manusia atau salah dari sudut agama.

Kita bersimpati dengan mereka yang membunuh diri jika ia berlaku kerana kekecewaan lantaran tidak mendapat pembelaan. Lebih-lebih lagi kita bersimpati dengan keluarga mangsa.

Namun, menjadikan peristiwa tersebut sebagai ikon menentang kezaliman adalah salah. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Jangan pula selepas ini lebih ramai pula khususnya ORANG POLITIK membunuh diri kerana KECEWA terhadap sistem yang zalim. Itu adalah perlakuan orang yang PUTUS ASA daripada RAHMAT ALLAH.