PAS Kota Belud mengambil inisiatif bagi memberikan kefahaman kepada ahlinya serta menerangkan beberapa isu semasa Sabah, negara dan juga beberapa isu dalaman yang menyelubungi parti sedikit masa dahulu.
Dailog yang diadakan di Markas PAS Cawangan Kampung Lilud Tamau, Kota Belud itu menampilkan Ketua Penerangan PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan ahli jawatankuasa Lajnah Pendidikan Pas Pusat Cikgu Mohd Anuar Ali.


Beberapa isu penting dialog yang disampaikan oleh ahli panel Cikgu Mohd Anuar, antaranya ialah berkenaan kemiskinan, tekanan hidup rakyat Sabah, walaupun ada pimpinan Umno dari Kota Belud menjawat jawatan yang tinggi di Kuala Lumpur.
Namun setelah puluhan tahun, rakyat Sabah terutamanya di Kota Belud, seperti tiada pembelaan daripada kerajaan negeri mahupun pusat dengan hasil negeri mereka berlegar kepada golongan kaya sahaja.
Jelasnya jika ada pimpinan Sabah cuba membela rakyat, maka ianya hanyalah bagi memujuk rakyat Sabah sahaja sedangkan pendapatan royalti petroleum sahaja sudah membolehkan kerajaan membantu rakyat Sabah tetapi mereka tidak melakukannya.


Beliau berkeyakinan tinggi dengan keupayaan PAS Kota Belud dalam menyebarkan Islam di Sabah dan ianya dapat dilihat dengan banyaknya bilangan pusat-pusat tahfiz yang wujud di daerah ini.
Manakala YB Ustaz Mohd Nor Hamzah pula berkata, bukan Islam tidak seharusnya takut dengan pemerintahan Islam kerana dalam al-Quran, surah al-Hujuraat mengajarkan agar manusia sesama manusia mesti saling menghormati.
Sudah terbukti melalui sejarah ketika mula-mula Islam tersebar, ada negara seperti Mesir yang ketika itu mempunyai 90 peratus penganut kristian, menerima Islam kerana percayakan kepada kebaikan yang Islam bawa.
Di Terengganu dan Kelantan misalnya, ketika PAS mula-mula memerintah dahulu dan sehingga kini, tiada kes dan isu diskriminasi agama terhadap bukan Islam yang direkodkan, membuktikan kehendak Islam itu berlangsung sepanjang zaman.


Turut diterangkan berkenaan perbalahan dalaman Umno sehinggakan lahirnya usul undi tidak percaya sehinggakan rakyat Terengganu menjadi muak akibat perbuatan dendam sesama mereka itu.
Menurutnya perbalahan ini tidak membawa kebaikan kepada rakyat dan PAS tetap dengan pendirian untuk tidak menyokong perubahan ketua kerajaan sahaja sedangkan partinya masih sama, tetapi mestilah dijatuhkan keseluruhan sistem dan partinya.
Beliau kemudiannya menyeru kepada seluruh penduduk Kota Belud agar berani melakukan perubahan agar mereka mendapat kebaikan kerana ketika itu Umno-BN akan menyedari bahawa kuasa rakyat boleh menjatuhkan mereka.



























