PAS Kemasik Kehilangan Petugas Istiqamah

5350

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – PAS Kemasik merasa terkejut, sedih dan pilu dengan berita kembalinya ke rahmatulah, Setiausaha PAS Cawangan Kg. Pengkalan Ranggon Kertih, di sini, malam tadi.

Allahyarham Azminuddin Awang, 55, yang juga seorang pemandu teksi tiba-tiba rebah sebaik sahaja membuka pintu pemandu setelah mengambil penumpang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.

Saksi kejadian, Kapten Masri Mahamud, 50, berkata, semuanya berlaku pantas sebaik sahaja bagasi diletakkan di but dan Allahyarham kelihatan membuka pintu hadapan sebelah pemandu.

“Jelas nampak Allahyarham sedikit terhoyong-hayang, tidak stabil dan saya segera meluru keluar untuk menyambut beliau dari jatuh.

“Saya memeriksa denyutan nadi, dengan sedikit pengetahuan, saya melakukan CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) untuk cuba membantu menyelamatkan Allahyarham.

Allahyarham Azminuddin Awang bersama isteri, Noorimi Ismail, 54, pada hari raya Aidilfitri lalu

“Allahyarham kembali bernafas kuat seketika, tidak lama…..sekali lagi CPR dibuat, namun gagal membantu, saya dapat rasakan beliau telah kembali,” kata beliau.

Kapten Masri, bekas juruterbang helikopter berkata Allahyarham menghembus nafas terakhir ketika suara azan Isyak dari masjid berhampiran sedang berkumandang.

“Selepas itu ambulan sampai dan beliau dibawa pergi, saya sangat bersedih kerana telah mengenali Allahyarham dengan rapat kerana selalu mengunakan perkhidmatan teksi beliau,” kata Kapten Masri lagi.

Sementara itu, Setiausaha PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Hj Roslan Endut berkata, pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada PAS DUN Kemasik.

“Beliau tokoh yang cukup istiqamah dengan parti, setelah PAS jatuh pada tahun 2004, beliau berusaha dan berjaya membawa PAS keluar dari zaman kegelapan, lalu mencapai kemenangan dalam pilihan raya lepas.

“Saya menjadi saksi bahawa bukan sedikit wang ringgit beliau digunakan untuk perjuangan Islam, malah sebidang tanah telah diwakafkan dan didirikan sebuah surau dan sebuah PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) yang dikenali dengan Al Munawwarah sejak tahun 2005 lagi,” kata Haji Roslan berduka.

Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Pengkalan Ronggon Kertih jam 10.30 pagi tadi dihadiri kira-kira 100 orang terdiri dari sanak-saudara, orang kampung dan sahabat seperjuangan.