Oleh KAM
HULU TERENGGANU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak pernah membeza-bezakan malah sentiasa menghormati budaya kaum lain dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Justeru, kata Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid sebab itu amalan menyantuni kaum Tionghua sempena menyambut Tahun Baharu Cina turut diraikan oleh partinya.
Katanya, ucapan Gong Xi Fa Cai yang ditujukan kepada kaum Tionghua sempena hari kebesaran mereka dibenarkan.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua kenalan warga Tionghua yang ada di negeri ini terutama di sekitar bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu ini.


Beliau yang juga mantan Ahli Parlimen PAS Hulu Terengganu tahun 1999 menyifatkan penerimaan masyarakat bukan Islam itu terhadap kunjungannya memberangsangkan.
“Sambutan masyarakat Tionghua terhadap kami (PAS) sangat mesra sekali. Semua yang kami temui menerima baik sumbangan kami, malah tiada yang menolak.
“Kami (PAS) juga bertukar-tukar maklumat dan sempat menjelaskan isu-isu berbangkit yang mengelirukan mereka sebelum ini,” ujarnya.


“Hampir semua yang ditemui di kalangan peniaga mengeluh tentang kemerosotan perniagaan mereka malah ada yang memberitahu pernah satu minggu tiada seorang pun yang membeli di kedai mereka.
“Alhamdulillah, rata-rata mereka bersetuju perubahan perlu dibuat oleh seluruh rakyat untuk memperbetulkan kepincangan dalam mengurus negeri dan negara ini,” jelasnya yang ditemani Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terenggan, Jefri Chua.
Katanya, PAS Kawasan Hulu Terengganu akan meneruskan program menyantuni masyarakat Cina kerana mereka sebahagian daripada penduduk Hulu Terengganu yang juga penyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat.





























